Kata Pedang: MCA ejen propaganda China

Parti anti-Islam MCA bukan lagi cawangan kedutaan China, tetapi jabatan kerajaan China di Malaysia

DILAPORKAN bahawa Duta Besar China ke Malaysia yang baharu, Bai Tian, menjadi ‘selebriti segera’ sejak ketibaannya di negara ini pada 28 November lalu, apabila perlu hadir begitu banyak majlis meraikan kedatangannya ke Malaysia.

Duta muda berusia 46 tahun itu dilaporkan terkejut, terharu dan tersentuh hati apabila mendapati begitu ramai pemimpin komuniti China Malaysia yang menunggunya di KLIA, bagi mengucapkan selamat datang, diketuai oleh Presiden Persekutuan Persatuan Cina Malaysia (Huazong), Pheng Yin Huah.

“Kejutan kedua ialah apabila saya menjadi bintang segera selepas media China menyiarkan berita saya setiap hari. Ramai orang, termasuk Melayu pada Perhimpunan Agung UMNO meminta untuk bergambar dengan saya,” kata Bai Tian pada salah satu majlis makan malam selamat datang kepadanya yang dihadiri lebih 500 orang pada 8 Disember lalu di Wisma Huazong di ibu negara.

Bagi tempoh 10 hari kehadirannya, dia sudah bertemu dengan lima menteri Kabinet, termasuk Menteri Luar, Anifah Aman; Menteri Pengangkutan, Liow Tiong Lai; dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz selain Setiausaha Agung UMNO, Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pedang pun hairan kenapa sambutan terhadap kehadiran duta baru China ini begitu gila-gila, sehingga dia dilaporkan terpaksa bergambar bersama 45 pemimpin persatuan Cina dalam 45 sesi.

Duta negara-negara lain yang baru hadir ke negara ini mungkin cemburu. Duta Besar Malaysia ke China juga mungkin cemburu kerana yang menyambutnya hanya kakitangan kedutaan – tiada rakyat China yang menunggunya di lapangan terbang.

Tapi di Malaysia, kehadiran Bai Tian ditunggu-tunggu, disambut dengan meriah oleh rakyat Malaysia keturunan Cina. Kenapa?

Tidak memeranjatkan apabila mengetahui bahawa dia adalah Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Asia di Kementerian Luar China di Beijing yang menjaga Asean dan Malaysia sejak empat tahun lalu, sebelum menjadi duta. Dia juga memainkan beberapa peranan besar dalam menyaring projek utama masuk ke Malaysia.

Pedang sikit pun tak cemburu, sebaliknya hairan kenapa Bai Tian diberi sambutan begitu gah sekali oleh Cina Malaysia. Apa yang mereka mahukan sehingga pelbagai persatuan Cina tidak kira kecil atau besar beratur untuk bergambar dengannya?

Lalu, Perdang tertarik dengan tulisan bekas Duta Malaysia ke Kanada, Dennis Ignatius dalam sebuah portal, mengenai keintiman bekas Duta Besar China, Huang Huikang dengan politik tempatan, terutama daripada parti anti-Islam MCA dan UMNO.

Dalam tulisannya, Ignatius memberi peringatan pembabitan Huang dalam politik tempatan, di sebalik hubungan rapat Malaysia-China, akan memberi kesan kepada kedaulatan negara.

“Beliau (Huang) tekun menjelajah negara, dan kerap ditemani ahli politik MCA dan UMNO, mengunjungi berpuluh-puluh sekolah Cina dan menyalurkan beratus ribu ringgit dalam bentuk bantuan dan biasiswa,” katanya dalam tulisan yang diberi tajuk ‘Bekas duta: MCA kini macam cawangan kedutaan China’.

Ignatius pernah menjadi Duta Besar Malaysia ke China. Bersara daripada perkhidmatan pada 2008 dan menjadi perunding dasar luar, Ignatius berkata, Huang juga berjanji mewujudkan program latihan bersama guru sekolah, yang antara lain boleh menyaksikan penyertaan lebih ramai guru dari tanah besar China di sekolah tempatan.

Dan, MCA bertindak seolah-seolah cawangan kedutaan China dan bukan sebagai sebuah parti politik yang menyertai kerajaan. Malah, baru-baru ini, MCA menubuhkan sebuah jawatankuasa hal ehwal China di samping sebuah pusat khas One Belt One Road (OBOR) – laluan sutera dan laut baharu yang diwujudkan China bagi mengawal ekonomi dunia.

Katanya, MCA mempromosikan OBOR mengalahkan kempen yang dijalankan kedutaan China sendiri, sehingga ada yang berkata MCA kini menjadi penggerak utama pengaruh dan propaganda China di negara ini kini.

Ignatius juga berkata, dasar ‘pro-China’ yang diamalkan kerajaan pimpinan Najib Razak adalah paling ketara dalam sejarah, dan Beijing kini semakin menyerlah memainkan peranan dalam politik tempatan, dengan sokongan terbuka diplomatnya terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN), termasuk melalui kehadiran pegawai kedutaan di program politik membabitkan UMNO, MCA dan Gerakan.

Tahun lalu, Huang menemani Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein; Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong; dan Adun MCA, Teoh Yap Kun melawat kawasan Parlimen Semborong dan kawasan DUN Paloh.

Dilaporkan, Huang juga dilihat bersama pemimpin kanan MCA menghadiri mesyuarat Persekutuan Persatuan Hakka Malaysia di Raub, Pahang, di samping bersama Presiden Gerakan, Mah Siew Keong di Teluk Intan.

“Dalam semua kunjungan ini, diplomat China mengambil peluang memuji pentadbiran Najib, menekankan kepentingan MCA dan menegaskan yang hubungan yang dibina dengan China banyak menguntungkan masyarakat Cina di Malaysia,” kata Ignatius.

Huang mencetuskan ‘kekacauan politik’ pada September 2015 apabila mengumumkan secara terbuka menentang sebarang bentuk diskriminasi terhadap kaum dan ekstremisme ketika mengulas demonstrasi pro Melayu dekat Petaling Street di Kuala Lumpur, yang didominasi peniaga Cina.

Demonstrasi itu, mendesak orang Melayu diberi lebih peluang perniagaan di kawasan itu. Sesetengahnya melihat komen Huang sebagai mencampuri urusan dalaman negara. Kementerian Luar Malaysia kemudian meminta Huang memberi penjelasan berhubung komennya dan kemudian mengumumkan kes itu ditutup.

Ignatius berkata, sokongan dan kenyataan diplomat China boleh dianggap ugutan terhadap masyarakat Cina negara ini supaya mengalihkan sokongan mereka kembali kepada UMNO dan BN.

Dalam tulisan itu, Ignatius mengakui apa yang diutarakannya boleh ditafsirkan sebagai menyebarkan dakyah anti-China.

“Ini bukan mengenai pro-Barat atau pro-China tetapi memastikan tidak ada negara, sama ada di Timur atau Barat, yang dapat mendominasi kita sehinggakan kita hilang upaya untuk menentukan haluan sendiri,” katanya.

Kata Pedang: Sedang menunggu satu kejutan – ‘menjual maruah negara’ – demi undi Cina.

(Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana)

The post Kata Pedang: MCA ejen propaganda China appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian