Kenyataan iPeguam mengenai peranan sebahagian ahli Parlimen Melayu Muslim dalam mempertahankan kepentingan Islam
IKATAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (iPeguam) merasa hairan dengan kenyataan dan pendirian beberapa ahli Parlimen Melayu Muslim terhadap isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam dan umat Islam yang semakin dicabar dan diprovokasikan oleh kumpulan liberal dan aktivis-aktivis anti-Islam yang ekstrim di negara ini.
Umum mengetahui bahawa umat Islam hari ini berhadapan dengan dua ancaman terbesar – dalaman dan luaran, yang masing-masing sedang berlumba-lumba untuk mendominasi identiti dan jati diri umat Islam.
Ancaman pertama – kelalaian, kejahilan, kelesuan, ketidakpedulian dan pengabaian dalam urusan akidah, keimanan, akhlak dan tingkah laku boleh masih boleh dirawat dengan mengembalikan umat kepada asas-asas keimanan, akhlak dan akidah yang bersandarkan Al Qura’an dan As Sunnah.
Ancaman-ancaman tersebut mungkin berupa ideologi sesat seperti sekularisme, fahaman liberal, ajaran sesat Syi’ah, ilhad (atheisma) dan gerakan anti-Hadith. Ia mungkin juga disemarakkan melalui perdebatan dalam masalah-masalah khilafiyah, perbezaan mazhab, percubaan mentafsirkan semula Al Qur’an dan upaya meracuni fikiran umat dengan ideologi-ideologi asing atau salahfaham tentang agama Islam sendiri.
Peranan untuk menangani ancaman di atas masih berada di tangan umat Islam, para ulamak, pendakwah, institusi dan agensi-agensi Islam, NGO-NGO Islam dan peranan ketua agama Islam baik di peringkat pusat mahupun negeri.
Ancaman kedua pula datang dari peranan ahli-ahli Parlimen Melayu yang beragama Islam yang gagal menjalankan peranan yang sepatutnya untuk membela Islam dan kepentingan umat Islam melalui mandat yang telah diberikan oleh para pengundi.
iPeguam mendapati bahawa mandat dan kepercayaan yang diberikan kepada sebahagian ahli-ahli Parlimen Melayu Muslim ini tidak dihargai dan dibalas dengan kejujuran untuk memperjuangkan kepentingan umat Islam di dalam Parlimen. Tidak jarang berlaku keadaan di mana ahli-ahli Parlimen tersebut seolah-olah menjadi “jurucakap” bagi pihak anti-Islam yang aktif menjalankan dakyah mereka di luar Parlimen untuk merosakkan dan menyesatkan umat Islam.
Tingkah laku dan gelagat sebahagian ahli Parlimen Melayu Muslim itu kelihatan sangat tidak senonoh dan memalukan. Kesempatan dan peluang yang berharga di Parlimen, yang sepatutnya digunakan semaksima mungkin demi kemaslahan Islam dan kepentingan umat, telah bertukar menjadi sesi untuk mempertahankan kebatilan dan membelakangi kepentingan agama Islam sebagai agama bagi Persekutuan.
iPeguam ingin bertanya untuk tujuan apakah sebenarnya kumpulan tersebut dipilih oleh para pengundi – untuk memperjuangkan kepentingan Islam dan umatnyakah, atau membela kepentingan pihak musuh Islam?
Apakah undi dan kepercayaan umat diperlukan hanya ketika kempen pilihanraya semata-mata untuk kemudiannya diabaikan begitu sahaja setelah calon-calon tersebut bergelar Yang Berhormat di Parlimen?
Apakah juga umat Islam memberi kepercayaan dan mandat kepada mereka untuk menjaga dan membela kepentingan pihak lain selain umat Islam?
Tingkahlaku dan pendirian yang sangat mendukacitakan dan memalukan seperti inilah yang sangat disukai oleh pihak-pihak anti-Islam dalam masyarakat. Musuh Islam telah berjaya menyelamatkan diri mereka apabila umat Islam kini terpaksa berhadapan dan ber”perang” sesama sendiri dalam urusan-urusan yang melibatkan kepentingan Islam di Parlimen.
Sungguh memualkan dan meloyakan apabila mengikuti sesi-sesi perbahasan mereka di Parlimen.
Dalam keadaan umat Islam terpaksa bergelut dengan siri-siri perlawanan dan peperangan dalaman, peranan ahli-ahli Parlimen Melayu Muslim yang gigih melawan arus Islam sangat mengecewakan sekali. Umat Islam tidak selayaknya mempunyai wakil-wakil rakyat seperti mereka.
Demi mengelakkan umat dan bangsa dipatuk, disengat, digigit dan diracuni berkali-kali, iPeguam menyarankan supaya para pengundi Melayu Muslim berhati-hati memilih siapa yang mereka hendak hantar ke Parlimen bagi tujuan mewakili umat Islam secara jujur dan ikhlas. Peluang hanya timbul sekali sahaja dalam masa 4 atau 5 tahun.
Kecuaian dalam memilih calon yang benar-benar berwibawa, komited dan tegas dalam mempertahankan prinsip dan kedaulatan Islam akan menyebabkan umat Islam merana sekali lagi. Episod malang akan berpanjangan dalam keadaan pihak musuh semakin memperolehi apa yang mereka rancangkan dan meraikan kejayaan bagi agenda-agenda toksik yang diperjuangkan oleh proksi-proksi mereka di Parlimen.
iPeguam menyeru supaya umat Islam berwaspada dengan kumpulan seperti ini dan tidak memberikan mandat dan kepercayaan kecuali kepada mereka yang benar-benar ikhlas dan jujur berperanan di Parlimen, demi kepentingan agama, umat dan bangsa.
Muhammad Luttfi Bin Abdul Khalid
Pengerusi
Ikatan Peguam-Peguam Muslim Malaysia [iPeguam]
The post Kenyataan iPeguam mengenai peranan sebahagian ahli Parlimen Melayu Muslim dalam mempertahankan kepentingan Islam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan