Mahu pulangan segera antara punca pencarum tertipu

SEREMBAN, 9 Rabiulakhir 1439H, Khamis – Janji diberi pulangan jangka pendek dan tekanan kos sara hidup tinggi adalah antara faktor yang mudah mempengaruhi seseorang individu untuk menyertai pelbagai skim pelaburan termasuk yang semata-mata hendak menipu.

Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC), Prof Datuk Dr Mohd Idrus Mohd Masirin berkata selain itu, mangsa pula biasanya terdiri daripada mereka yang mempunyai impian untuk hidup selesa dalam masa singkat.

Untuk itu mereka sering cuba mengeluarkan wang simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mereka.

“Mereka ini kebanyakannya diyakinkan dengan jaminan verbal (lisan) oleh orang yang dikenali, kononnya pelaburan akan berjaya dan sekiranya berlaku sebaliknya, modal akan dikembalikan.

“Malah kekurangan pengetahuan tentang sumber, punca dan risiko pelaburan yang disertai juga menyumbang kepada leburnya pelaburan yang dibuat,” katanya kepada Bernama, di sini.

Beliau berkata, pelaburan yang dibuat tanpa usul periksa sumbernya akan menyebabkan pencarum cuba mengeluarkan wang simpanan KWSP semata-mata untuk mendapatkan pendapatan dan simpanan yang lebih, akan berputih mata.

Mohd Idrus dalam pada itu mencadangkan KWSP untuk mewujudkan garis panduan buat pencarum mengenal pasti kaedah menyemak jenis-jenis pelaburan yang sah, sekali gus dapat membantu mengelakkan pencarum daripada menjadi mangsa sindiket penipuan.

“Sebagai contoh, jumlah pelaburan boleh dikawal oleh KWSP berdasarkan jenis pelaburan yang bakal dilakukan oleh pencarum bagi memastikan kebajikan simpanan kewangan pencarum akan terjamin.

“Contohnya katakan dia mahu melabur dalam ASB (Amanah Saham Bumiputera), boleh keluarkan banyak tapi kalau nak beli saham, KWSP perlu kawal jumlahnya untuk elakkan pencarum kerugian besar, manakala bagi pelaburan lain yang agak diragui, KWSP mungkin boleh meminta pengesahan daripada pihak berkenaan sebelum dibenarkan pengeluaran dibuat,” katanya.

Beliau berkata secara amnya, masyarakat di negara ini semakin bijak untuk terlibat dalam pelaburan, cuma mereka kadangkala tidak dapat mengawal keterujaan apabila mendengar atau menyertai sesuatu pelaburan, khususnya yang menjanjikan pulangan berganda dan lumayan dalam tempoh masa pendek.

Selain itu katanya, kekurangan pendedahan oleh pengamal media di negara ini tentang kegiatan pelaburan ‘scam’ dan sogokan maklumat
tidak sahih dalam internet oleh pihak tertentu juga mendorong kepada keputusan salah yang diambil seseorang pencarum.

“Oleh itu, masyarakat perlu selalu diingatkan tentang gejala penipuan dalam pelaburan khususnya yang berteraskan internet. Masyarakat
juga perlu lebih berhati-hati dalam menguruskan simpanan kewangan mereka termasuk bagi tujuan pelaburan yang dikhuariti akhirnya akan meranapkan impian besar mereka.

“Saya berpandangan bahawa inisiatif meningkatkan kesedaran terhadap memilih jenis pelaburan di kalangan masyarakat Malaysia perlu
disekalikan dalam mana-mana program menggalakan pelaburan dan inisiatif menggalakkan menabung demi masa depan keluarga,” katanya.

Beliau berkata, wang yang hilang sukar dikembalikan tetapi wang yang ada mampu memberikan kelegaan kepada sara hidup dan keharmonian keluarga. -Bernama

The post Mahu pulangan segera antara punca pencarum tertipu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian