Mangsa banjir di Kelantan meningkat petang ini

KOTA BHARU, 12 Rabiulawal 1439H, Jumaat – Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 13,528 orang pada 5 petang ini berbanding 13,300 orang pada 12 tengah hari tadi.

Menurut aplikasi infobanjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kesemua mangsa daripada 5,357 keluarga itu ditempatkan di 64 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di enam jajahan membabitkan Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah, Pasir Puteh dan Gua Musang.

Pasir Mas masih merekodkan jumlah tertinggi dengan 9,320 mangsa daripada 3,966 keluarga yang berada di 38 PPS, diikuti Tumpat dengan 2,934 mangsa daripada 1,019 keluarga di lapan PPS.

Selain itu, 824 mangsa daripada 245 keluarga ditempatkan di lapan PPS di Pasir Puteh; 200 mangsa daripada 61 keluarga di tiga PPS di Kota Bharu; 133 mangsa daripada 39 keluarga di empat PPS di Tanah Merah dan 117 mangsa daripada 27 keluarga di tiga PPS di Gua Musang.

Menurut portal infobanjir.water.gov.my Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang dilaporkan kekal pada paras 10.26 meter sejak 12 tengah hari hingga 4 petang tadi. Paras bahaya ialah sembilan meter.

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula menurun kepada 3.67 meter berbanding 3.70 meter dalam tempoh sama. Paras bahaya 2.50 meter.

Sementara itu, portal eBanjir Kelantan, ebanjir.kelantan.gov.my melaporkan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan setakat 5 petang ini manakala hujan kadangkala berlaku di beberapa tempat. – Bernama

The post Mangsa banjir di Kelantan meningkat petang ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian