Membidas dakwaan Siti Kasim bahawa RUU355 menjahanamkan orang Melayu

SAYA berasa terpanggil untuk membidas Siti Kasim yang memuat naik satu video di Facebook yang dirakam beliau bertajuk ‘RUU355: Mengapa saya tidak setuju’ pada 27 Disember 2017 yang kononnya ditujukan kepada orang Melayu.

Walaupun isu RUU355 tidak lagi menjadi “headline” pada ketika ini, agak aneh juga Siti Kasim tiba-tiba mengulas tentang isu ini.

Saya cerakinkan ulasan Siti Kasim kepada beberapa perkara:

1. Siti Kasim mendakwa bahawa RUU355 menjahanamkan orang Melayu;

2. Siti Kasim mendakwa bahawa kesalahan-kesalahan jenayah seperti minum arak, tidak berpuasa di bulan Ramadhan, tidak menunaikan sembahyang Jumaat, berkhalwat dan lelaki memakai pakaian atau menyerupai perempuan adalah dosa-dosa peribadi atau ‘personal sins’;

Sebagai seorang peguam lebih-lebih lagi sebagai seorang ahli jawatankuasa Majlis Peguam yang bertanggungjawab mempertahankan Perlembagaan Persekutuan “without fear or favour”, Siti Kasim nampaknya gagal, cuai atau enggan untuk merujuk atau menggunapakai Perenggan 1 Senarai II Senarai Negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang ‘pewujudan dan penghukuman kesalahan yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu’.

“Personal sins” atau dosa-dosa, peribadi mahupun awam sebagaimana yang Siti Kasim fahami, adalah dikira sebagai melanggar perintah agama Islam. Oleh yang demikian, tidak ada isu bahkan ia “constitutional” dan diiktiraf Perlembagaan Persekutuan.

3. Siti Kasim mendakwa ‘personal sins’ itu hanyalah kesalahan moral dan tidak melibatkan orang lain;

‘Personal sins’ atau dosa-dosa, atau perbuatan yang melanggar atau pengabaian perintah agama Islam adalah menjadi tanggungjawab orang Islam secara amnya, apatah lagi oleh orang Islam yang diberikan kuasa menurut lunas Perlembagaan dan undang-undang, termasuklah kerajaan Malaysia di mana Islam merupakan agama bagi negara, mahupun atas kesedaran dan amanah kendiri, untuk menguatkuasakan, mencegah, memberi nasihat dan teguran ataupun membenci serta menjauhi kesalahan yang becanggah dengan ajaran Islam mahupun dosa-dosa.

Tidakkah Siti Kasim pernah mendengar, atau memahami dan menerima, sabda Rasulullah S.A.W. yang berbunyi “Barangsiapa di kalangan kamu melihat kemungkaran hendaklah mengubah dengan tangannya, jika tidak mampu, maka dengan lidahnya dan jika tidak mampu, maka dengan hatinya dan demikian itu adalah selemah-lemah iman”?

Allah S.W.T. juga berfirman di dalam surah Ali-‘Imran ayat 104 yang bermaksud “Hendaklah ada segolongan dari kamu yang menyuruh berbuat kebaikan dan mencegah dari kemungkaran…”.

Oleh itu, bagaimana mungkin Siti Kasim boleh mendakwa bahawa ia “tidak melibatkan” orang lain sedangkan orang lain itu bertanggungjawab dan perlu memberikan perhatian terhadap dosa-dosa dan kemungkaran yang berlaku di negara kita?

Sebagai seorang ahli Majlis Peguam, bukankah ia merupakan satu tuntutan Perlembagaan Persekutuan, sekiranya Siti Kasim enggan mengambil sudut tuntutan agama?

4. Siti Kasim mendakwa RUU355 tidak meletakkan perincian hukuman bagi setiap jenayah syariah, letak penjara 30 tahun boleh, letak 100 kali sebatan boleh, letak denda RM100 ribu pun boleh;

5. Siti Kasim mendakwa RUU355 adalah mengenai persoalan samada hukuman tersebut berpatutan dengan “personal sins”;

6. Siti Kasim mendakwa tidak bersembahyang Jumaat boleh dikenakan penjara 30 tahun, sebatan 100 kali dan denda RM100k.

7. Siti Kasim mendakwa di Terengganu menaiki motor dengan bukan mahram boleh dihukum 30 tahun penjara, 100 kali sebatan dan denda RM100 ribu;

Siti Kasim seolah-olah berpura-pura tidak tahu atau tidak faham bahawa Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang telah dikuatkuasakan sejak 52 tahun lalu tidak pernah pun meletakkan perincian hukuman bagi setiap jenayah syariah yang diperuntukkan dibawah enakmen jenayah syariah negeri, dan tidak pernah pun timbul sebarang isu.

Ini kerana, Akta 355 tersebut yang diperbuat oleh Dewan Rakyat atau Parlimen, dan juga Rang Undang-Undang 355 untuk meminda Akta 355, hanyalah satu undang-undang “procedural” yang meletakkan had maksimum hukuman-hukuman yang boleh disabitkan ke atas pesalah jenayah syariah oleh mahkamah syariah.

Ia tidak bertujuan, bahkan menjadi “unconstitutional”, untuk memperincikan kesemua kesalahan jenayah syariah, jenis hukuman serta had hukuman bagi setiap kesalahan jenayah syariah yang merupakan bidang kuasa ekslusif negeri-negeri melalui Dewan Undang Negeri (DUN) untuk memperbuat undang-undang “substantive”.

Oleh yang demikian, setelah RUU355 diluluskan oleh Parlimen dan pindaan berjaya dibuat ke atas Akta 355, ia tidak boleh secara automatik dikuatkuasakan di negeri-negeri dan mahkamah syariah. Hal ini kerana, DUN mestilah meluluskan pindaan terhadap enakmen jenayah syariah negeri masing-masing bagi meminda had hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah.

DUN juga mempunyai hak demokratik untuk membahaskan samada sejauh mana had sesuatu hukuman itu sesuai atau berpatutan bagi sesuatu jenayah syariah yang diperuntukkan. Disinilah RUU355 akan melalui sesi perbahasan yang komprehensif mengenai perincian yang dikhuatiri Siti Kasim itu dan bukannya ditolak bulat-bulat.

8. Siti Kasim mendakwa bahawa apa yang perlu dilakukan adalah bukannya menghukum tetapi mengajar nilai moral agar tidak melakukan “personal sins”;
9. Siti Kasim mendakwa bahawa Melayu akan hidup dalam ketakutan dan mereka hanya akan mematuhi undang-undang kerana berasa takut akan dihukum;

Saya merujuk kepada laporan Malaysiakini bertarikh 21 Disember 2017 yang memetik berita Bernama bertajuk “Mak nyah tak serik, operasi bagaikan tak berkesan”.

Di dalam laporan tersebut, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata pihak penguatkuasaan syariah JHEAT bukan sahaja menggunakan pendekatan tegas tetapi juga melakukan intipan dari semasa ke semasa serta mendekati golongan ini agar mampu memberi teguran secara ilmiah.

JHEAT juga meletakkan objektif untuk “melahirkan masyarakat yang menjadikan Islam sebagai cara hidup (ad-din) meliputi aspek-aspek akidah, akhlak, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan” dismping “menegak keadilan mengikut hukum-hukum Islam serta mengawal dan membasmi kemungkaran murtad, bidaah dholalah, maksiat, khurafat dan lain-lain yang menjejaskan kesucian Islam”.

Menurut laporan The Star Online pula bertarikh 19 Januari 2017, Datuk Wan Mohd Wan Ibrahim berkata bahawa “We have given ample reminders” dan “Many have been given advice so that they can correct their mistake” membuktikan betapa JHEAT mengutamakan pendekatan mendidik dan ilmiah serta hanya bersikap tegas apabila pesalah-pesalah jenayah syariah enggan berubah dan berkeras melanggar undang-undang.

Saya juga menonton satu video oleh DW News yang dikongsi oleh sahabat seperjuangan Siti Kasim iaitu Farouk A. Peru di Facebook berkenaan penguatkuasaan undang-undang syariah di Banda Aceh.

Walaupun disifatkan sebagai “brutal public canings” yang tidak pun dilaksanakan di negara kita, lelaki yang ditangkap khalwat dan dihukum sebat di bahagian hujung video menyebut bahawa “I never want to experience anything like that again” dan “I want to visit my girlfriend’s parents and talk about the future. Maybe I can marry her soon”.

Lihatlah betapa perlaksanaan undang-undang syariah oleh jabatan agama Islam di negara kita mengutamakan pendekatan ilmiah dan hikmah sebelum menguatkuasakan undang-undang serta hukuman dikenakan oleh mahkamah syariah dan betapa perlaksanaan ini boleh membawa perubahan positif kepada pesalah-pesalah jenayah syariah, terutamanya di Malaysia kerana mereka tidak mengalami trauma atau “brutal public cannings” seperti yang didakwa berlaku di Banda Aceh.

Tetapi yang anehnya, apabila kerajaan negeri Terengganu, melalui kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas negeri, Ghazali Taib menurut laporan Malaysiakini bertarikh 29 Disember 2017, merancang untuk mengadakan kursus kesedaran kepada golongan mak nyah ketika mengulas laporan media mengenai isu golongan mak nyah yang didapati menjadikan kawasan Flat Petani sebagai sarang maksiat dan pelacuran, Siti Kasim tidak pula bersetuju dan tidak pula menyokong melalui posting di Facebook beliau.

10. Siti Kasim menyebut bahawa di mahkamah sivil, penjenayah berumur 50 tahun tidak boleh dikenakan sebatan kerana dikira sebagai penjenayah yang sudah berumur atau tua, dan wanita juga tidak boleh dikenakan sebatan;

Siti Kasim seakan-akan mengagungkan undang-undang dan mahkamah sivil dan merendahkan undang-undang dan mahkamah syariah. Lebih teruk lagi, sebagai seorang peguam, Siti Kasim gagal bertindak secara profesional dalam mengulas tentang RUU355, atau menyembunyikan fakta tentang tatacara jenayah syariah.

Sedangkan, sekiranya Siti Kasim meneliti peruntukan enakmen tatacara jenayah syariah kesemua negeri, beliau akan mendapati peruntukan mengenai hukuman sebat.

Di bawah peruntukan tersebut, seperti contoh Seksyen 125 di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Perak) 2004, Seksyen 123A di bawah Enakmen Prosedur Jenayah Syariah 1993 (Sabah), Seksyen 129 di bawah Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 2003, ataupun Seksyen 125 di bawah Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, beberapa perkara dimasukkan bagi menjaga hal ehwal kebajikan dan kesihatan pesalah sebelum dan semasa menjalani hukuman sebat.

Antaranya:

– alat sebatan dibuat sama ada daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter;

– sebelum hukuman dilaksanakan, Pegawai Perubatan Kerajaan akan memeriksa pesalah untuk memperakui bahawa pesalah itu dalam keadaan kesihatan yang baik untuk menjalani hukuman;

– jika pesalah hamil, pelaksanaan hukuman akan ditangguhkan sehingga tamat tempoh dua bulan selepas bersalin atau keguguran;

– hukuman dilaksanakan di hadapan Pegawai Perubatan Kerajaan;

– orang yang melaksanakan hukuman hendaklah ‘adil dan matang’;

– alat sebatan digunakan dengan kekuatan yang sederhana tanpa tangannya melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah;

– sebatan tidak boleh dikenakan ke muka, kepala, perut, dada atau bahagian-bahagian sulit;

– jika semasa hukuman sebat dilaksanakan, Pegawai Perubatan Kerajaan memperakui bahawa pesalah itu tidak lagi dapat menerima sebatan, sebatan itu hendaklah ditangguhkan sehingga Pegawai Perubatan itu memperakui bahawa pesalah itu sihat tubuhnya untuk menjalani baki hukuman itu;

– dan yang paling berkait dengan kenyataan Siti Kasim, jika Pegawai Perubatan memperakui bahawa pesalah itu, oleh sebab umur tua, keuzuran atau apa-apa sebab lain tidak dapat menjalani hukuman sebat pada keseluruhannya atau sebahagiannya, maka kes itu hendaklah dirujukkan kepada mahkamah yang boleh memerintahkan hukuman itu dilaksanakan mengikut cara yang difikirkannya munasabah, dan mengikut peruntukan contohnya di bawah enakmen Negeri Sembilan dan akta Wilayah-Wilayah Persekutuan, umur tua bererti telah mencapai umur lima puluh tahun atau lebih.

Lihatlah begitu teliti dan prihatin enakmen tatacara jenayah syariah negeri-negeri dan wilayah-wilayah berhubung perlaksanaan hukuman sebat. Hanya jika Siti Kasim membuat sedikit bacaan dan kajian tambahan, Siti Kasim tidak akan membuat kenyataan seperti mengagungkan undang-undang dan mahkamah sivil seolah-olah undang-undang dan mahkamah syariah adalah tidak berperikemanusiaan sehingga mengelirukan serta menyebarkan prejudis dalam kalangan orang Islam mahupun orang bukan Islam.

Dengan bidasan terhadap Siti Kasim berhubung dakwaan-dakwaan beliau ini, tidaklah benar bahawa kononnya RUU355 menjahanamkan Melayu, bahkan ia bertujuan untuk mendidik dan mencegah dosa dan kemungkaran bagi memelihara kesejahteraan umat Islam secara keseluruhannya, demi kebahagiaan di dunia dan akhirat jua, inshaaAllah.

Saya juga ingin menasihatkan Siti Kasim agar merenung kembali dakwaan-dakwaan beliau dan membuat penilaian berasaskan fakta, bukan sentimen atau emosi semata-mata, lebih-lebih lagi beliau sebagai seorang peguam dalam bidang profesional, bahkan mewakili Majlis Peguam.

Danial Ariff bin Shaari

Artikel ini diambil daripada laman Facebook Danial Ariff Shaari

The post Membidas dakwaan Siti Kasim bahawa RUU355 menjahanamkan orang Melayu appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian