Permohonan SPR ketepikan keputusan Mahkamah Tinggi didengar 18 Disember


PUTRAJAYA, 25 Rabiulawal 1439H, Khamis— Mahkamah Rayuan akan mendengar pada 18 Disember permohonan oleh Suruhanhaya Pilihanraya (SPR) untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi untuk menggantung pelaksanaan proses inkuiri tempatan bagi kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di Selangor.

Hakim Tan Sri Idrus Harun yang mengetuai panel tiga hakim yang juga terdiri daripada Datuk Yaacob Md Sam dan Datuk Rhodzariah Bujang menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan oleh kerajaan negeri Selangor yang diwakili oleh peguam Datuk S.Ambiga untuk menangguhkan prosiding mendengar kes bagi membolehkan mereka memfailkan afidavit.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh membantah penangguhan tersebut kerana tiada fakta baharu akan dibangkitkan atau dipertikaikan.

“Ini adalah kes luar biasa, tiada prasangka kepada responden. Kesemua 110 pihak lain berhak didengar dalam inkuiri tersebut,” kata beliau.

Ambiga berhujah bahawa SPR mempunyai tempoh sehingga September 2018 untuk menyiapkan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya.

“Pilihan raya umum akan diadakan tahun depan, jika itulah alasannya maka itu adalah keputusan yang salah kerana SPR mesti bertindak bebas daripada kerajaan,” kata beliau.

Pada 8 Disember, SPR memfailkan permohonan untuk mengetepikan keputusan mahkamah Tinggi menangguihkan proses inkuiri bagi kawasan parlimen dan dewan undangan negeri di Selangor sementara menunggu keputusan terhadap rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam permohonan itu, SPR berkata, perintah penggantungan itu bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan menghalang SPR daripada menjalankan tugasnya.

SPR berkata, perintah itu menafikan hak pengundi lain di Selangor dan semua proses inkuiri tempatan bagi negeri lain yang terlibat dalam persempadan semula telah siap kecuali di Selangor.

Pada 7 Disember, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh kerajaan negeri Selangor untuk mencabar proses persempadan semula kawasan pilihan raya di Selangor.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan kerajaan Selangor untuk menangguhkan proses inkuiri tempatan bagi kawasan pilihan raya parlimen dan dewan undangan negeri sementara menunggu keputusan terhadap rayuan yang akan diputuskan oleh Mahkamah Rayuan. – Bernama

The post Permohonan SPR ketepikan keputusan Mahkamah Tinggi didengar 18 Disember appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian