Projek penambakan di Pulau Pinang masih tunggu EIA, MPFN

KUCHING, 12 Rabiulakhir 1439H, Ahad – Masih terlalu awal bagi mana-mana pihak untuk membuat sebarang kesimpulan mengenai projek penambakan laut di selatan Pulau Pinang kerana sehingga kini Jabatan Alam Sekitar masih belum membuat sebarang ketetapan mengenai laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek berkenaan, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

“Komen saya mengenai projek berkenaan baru-baru ini adalah bersifat pandangan peribadi saya, penilaian saya berdasarkan latar belakang saya dan tugas sebagai menteri yang diberi tanggungjawab antaranya menjaga alam sekitar. Saya sebut itu sebagai komen peribadi, saya tidak berapa setuju (dengan projek itu), jadi jangan campur aduk keputusan rasmi dengan komen saya secara peribadi.

“Permohonan mereka masih dalam penilaian. Laporan EIA masih belum disiapkan… masih tunggu ‘fisheries impact report’, ‘social impact report’, juga masih tunggu komen jabatan ukur lagi,” katanya semasa merujuk pelbagai respons yang menurutnya banyak disuarakan di alam siber sebagai susulan kenyataan beliau mengenai projek berkenaan semasa berada di Pulau Pinang beberapa hari lepas.

Beliau berkata demikian pada satu persidangan media di Dewan Masyarakat Kampung Rampangi selepas meninjau perkembangan projek pembinaan parit konkrit bernilai sekitar RM500,000 di Lorong Damar 1, Kampung Rampangi, di sini hari ini.

Beberapa media sebelum ini melaporkan projek tambakan laut itu meliputi kawasan seluas 809.73 hektar di Permatang Damar Laut dan pembinaan tiga pulau buatan termasuk dalam cadangan pelaksanaan projek Pelan Induk Pembangunan Pulau Pinang yang turut merangkumi pembinaan sebuah terowong dasar laut sepanjang 6.5 km, tiga lebuh raya dan Penang Sky Cab.

Semasa di Pulau Pinang, Wan Junaidi turut menerima nota bantahan projek penambakan laut itu daripada Persatuan Nelayan Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, projek mega itu juga perlu dibawa kepada Majlis Pembangunan Fizikal Negara (MPFN) untuk dibincangkan terlebih dahuu sebelum sebarang keputusan dapat dimuktamadkan.

Katanya secara peribadi, beliau melihat kawasan yang akan ditambak itu adalah kawasan pembiakan untuk ikan, ketam serta udang yang dijangka boleh menjejaskan pembekalan ikan sekiranya kawasan lubuk itu terjejas, di samping menjejaskan mata pencarian nelayan.

Terdahulu dalam tinjauan ke tapak projek parit berkenaan, Wan Junaidi berkata beliau berpuas hati dengan pelaksanaan projek yang telah siap 60 peratus dan dijangka siap sepenuhnya Februari ini.

Katanya, pada masa depan beliau akan berusaha mendapatkan lebih banyak peruntukan untuk menyediakan banyak lagi parit konkrit di Kampung Rampangi yang menurutnya memerlukan sehingga RM4 juta untuk meliputi seluruh kawasan kampung itu.– Bernama

The post Projek penambakan di Pulau Pinang masih tunggu EIA, MPFN appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian