“Saya solat Jumaat je… solat lain tu…”

Hari ini hari Jumaat. Biasanya hari Jumaat kami hanya duduk di rumah sewa sahaja untuk membuat kerja-kerja menjemur dan memproses sampel bijih yang telah dikutip.

Pada hari-hari lain, seluruh waktu siang kami dihabiskan dengan meredah hutan belantara mengambil sampel-sampel tanah, pasir sungai dan batuan yang dilihat berpotensi mempunyai galian berharga.

Hari Jumaat kami tidak keluar ke hutan. Maklumlah, Solat Jumaat mesti ditunaikan kerana masjid dengan rumah sewa tidak jauh mana.

Jam menunjukkan jam 1 tengah hari. Lagi beberapa minit lagi azan akan berkumandang. Pekerja-pekerja sambilan bergaji harian yang merupakan orang-orang kampung yang pakar mendulang dan ilmu masuk hutan yang kami upah masih ‘terbongkang’ tidur.

“Jom, jom Solat Jumaat …”

Seorang pekerja sambilan berat hati membuka mata.

“Okey kejap bos.”

Aku menunggu di luar rumah, duduk menunggu di kerusi batu. Azan baru habis berkumandang.

“Jom bos…” Salah seorang staf pejabat yang turut ada keluar dari rumah dan memanaskan enjin pacuan 4 roda.

Pekerja sambilan tadi juga keluar sejurus selepas itu, lalu menutup pintu rumah.

“Mana yang lain? Tak nak sembahyang?”

——

Begitulah babak ringkas yang berlaku setiap kali hari Jumaat semasa ‘fieldwork’ di tempat orang. Hati remuk-redam kecewa kerana sikap ahli pasukan kerja yang tidak endah solat Jumaat. Terasa nak menitik air mata jantan.

Bukan sahaja solat Jumaat …

Pekerja sambilan sama, pada waktu solat fardu, tidak pernah pun lihat dia bersolat di rumah sewa.

Pakaian yang dia bawa hanyalah pakaian kerja masuk hutan yang sedia lusuh dan koyak, dan sehelai kain pelikat buat selimut tidur.

Bab solat fardu ini bukan dia seorang sahaja yang tak sembahyang, pekerja-pekerja sambilan upahan kami yang lain pun sama sahaja.

Ada seorang tu, dah mencecah umur 50-an, ada anak perempuan bersekolah di sekolah agama, tapi sepanjang ‘fieldwork’ dengan dia, hanya solat Asar sahaja yang kadang-kadang dia buat.

——

“Tak ada kain pelikat ke… nah kain, sembahyang.”

“Oh.. ok ok. Bos simpan dulu.”

Begitulah setiap kali sesi dakwah santai dengan dia, hanya untuk ajak dia solat fardu.

“Awak tu baru sahaja kahwin dan dapat anak. Dah jadi suami dan bapak orang, kena la rajin-rajin solat…”

“InsyaAllah ….” Itu sahajalah jawapan yang diberi, manis di mulut.

Solat Jumaat boleh pula, kan?

“Saya solat Jumaat je, solat lain tu …”

Oleh:
Fakhruddin Afif bin Fauzi, P.Geol, MIGM
Aktivis Isma Alor Setar

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian