Shahrizat harap calon Wanita tak diletak di kawasan hitam

KUALA LUMPUR, 17 Rabiulawal 1439H, Rabu – Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berharap mana-mana calon daripada pergerakan itu yang dipilih bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak ditempatkan di kawasan ‘hitam’.

Beliau berkata, senarai nama calon Wanita yang dikemukakan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak untuk dipertimbangkan, telah pun melepasi saringan yang ditetapkan.

“Saya mengingatkan, jangan kerana nak capai 30 peratus (calon wanita), calon wanita dicampak di tempat tidak selamat, itu kita tak nak.

“…tetapi saya percaya ini tidak akan berlaku. Saya sekadar mengingatkannya. Saya nak (calon) Wanita diletakkan di tempat sewajarnya,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, hari ini.

Sebelum ini, Wanita UMNO mencadangkan supaya kepimpinan parti memilih 30 peratus calon daripada sayap itu untuk bertanding di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri pada PRU14.

Mengulas lanjut, Shahrizat berkata, untuk mencari calon wanita yang berkelayakan, beliau bekerjasama dengan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan Ketua Wanita UMNO negeri yang lebih mengenali calon dari negeri masing-masing.

Antara kriteria dipertimbangkan ialah mereka mestilah calon boleh menang dan boleh mengambil hati rakyat, katanya.

“Kita tidak pilih calon secara rambang… nak pilih calon adalah perkara yang serius. Perdana Menteri amat teliti dengan kriteria yang nak dipilih sebagai calon tetapi saya percaya calon Wanita mempunyai ciri-ciri yang presiden cari,” katanya.

Terdahulu, dalam ucapan dasar pada Perhimpunan Agung Wanita hari ini, Shahrizat berkata, Wanita UMNO tekad menyokong gandingan Najib dan Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk terus memimpin parti itu.

Sambil menyatakan kesetiaan tidak berbelah-bahagi, beliau meminta kedua-dua pemimpin itu untuk terus mengibarkan panji aspirasi dan memandu transformasi yang telah dijanjikan sebelum ini. – Bernama

The post Shahrizat harap calon Wanita tak diletak di kawasan hitam appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian