25 bakal jemaah umrah dakwa kerugian RM178,600 ditipu ‘ustazah’

ALOR SETAR, 11 Jamadilawal 1439H, Ahad – Dua puluh lima bakal jemaah umrah kerugian kira-kira RM178,600 apabila mendakwa ditipu seorang wanita dipanggil ‘ustazah’ yang mengaku wakil sebuah syarikat pengendali pakej umrah di ibu negara.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, kebanyakan mangsa terdiri daripada pesara kerajaan, peniaga dan petani di sekitar Alor Setar dan Guar Chempedak dekat Yan itu, berasa ditipu selepas beberapa kali jadual penerbangan ditunda serta belum menerima semula bayaran yang telah dibuat.

“Selepas CAKE mendapat laporan daripada mangsa, saya menghubungi wanita itu yang berjanji akan memulangkan semula bayaran yang dibuat mangsa sebelum ini, namun hingga hari ini pengadu mendakwa tidak menerima bayaran lagi dan datang membuat laporan polis,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar di sini, semalam.

Seramai 12 mangsa hadir di IPD Kota Setar petang semalam untuk membuat laporan bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap individu tersebut.

Mohamad Yusrizal berkata, mangsa yang terbabit berusia 14 hingga 65 tahun dan kebanyakan mereka adalah kali pertama ingin mengerjakan umrah dan sangat teruja untuk ke tanah suci.

“Mereka sepatutnya berlepas pada 6 Disember tahun lepas, namun ditunda pada 9 Disember dan kemudiannya 17 Disember dan hingga hari ini dengan alasan tiada tiket serta mula berasa tertipu apabila tidak mendapat maklumat tepat daripada individu berkenaan,” katanya.

Seorang mangsa, Siti Fatimah Osman, 68, berkata beliau kerugian RM7,200 apabila ditipu wanita itu yang hanya dikenali di sebuah masjid di sini, yang menawarkan pakej menarik dan harga berpatutan.

“Saya ajak rakan yang lain kerana ia menarik, namun rasa tertipu apabila tarikh asal ke tanah suci Mekah selalu ditunda walaupun telah memperolehi visa dengan alasan masih tidak mendapat tiket penerbangan dan tempat penginapan, malah sering berdolak-dalik apabila ditanya tentang perkara itu,” katanya.

Beliau berharap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan mengheret wanita itu ke muka pengadilan.

Bagi pasangan suami isteri, Ismail Hashim, 55, dan Siti Hawa Kasim, 54, pula mereka sangat kecewa kerana wang yang dibayar kepada wanita itu adalah hasil titik peluh membuat kerja sawah sejak sekian lama.

“RM13,800 kami berdua ditipu dan saya harap wanita itu dapat memulangkan semula wang kami agar kami dapat pergi selepas ini,” katanya. – Bernama

The post 25 bakal jemaah umrah dakwa kerugian RM178,600 ditipu ‘ustazah’ appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian