Doktor pakar kerajaan letak jawatan meningkat setiap tahun

PUTRAJAYA, 22 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Jumlah pakar perubatan Kementerian Kesihatan yang meletak jawatan meningkat setiap tahun berikutan jurang pendapatan yang jauh berbeza dengan sektor swasta, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, pada tahun lepas seramai 170 pakar perubatan kementerian meletak jawatan, meningkat berbanding 158 orang pada tahun sebelumnya.

“Kebanyakan mereka yang meletak jawatan adalah di gred atasan iaitu UD54 ke atas yang mempunyai banyak pengalaman dan berkemahiran tinggi. Ia satu kerugian besar buat kita,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Walaupun agak sukar bagi kementerian menyamai kadar pendapatan pakar perubatan di sektor swasta, Dr Subramaniam berkata jurang tersebut cuba dirapatkan dengan memperkenalkan waktu kerja fleksi seperti yang diumumkan dalam Bajet 2018.

Bermula 1 Januari lepas, pakar perubatan kerajaan diberi kelonggaran satu hari dalam seminggu daripada tempoh waktu bekerja rasmi mereka untuk menambah pendapatan melalui tiga pilihan yang disenaraikan kementerian, katanya.

Dr Subramaniam berkata, pakar perubatan kementerian diberi pilihan untuk menjalankan penyelidikan perubatan yang ditaja oleh industri melalui Clinical Research Malaysia (CRM) atau menjadi tenaga pengajar bagi latihan sangkutan pelajar di universiti awam (UA) atau institusi pendidikan tinggi swasta (IPTS).

Selain itu, katanya pakar perubatan kerajaan juga dibenarkan bekerja di sektor swasta dalam tempoh sehari tersebut dengan mengambil kira syarat-syarat tertentu termasuk kos insurans.

“Kita harap dengan merapatkan jurang (pendapatan) dan dengan memberikan mereka peluang, lebih banyak doktor akan kekal dalam perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Selain menambah pendapatan pakar perubatan kerajaan, katanya pelaksanaan waktu kerja fleksi itu juga diharapkan dapat meningkatkan bilangan penyelidik dalam bidang perubatan, menggalakkan pemindahan pengetahuan kepada pelatih perubatan dan meningkatkan motivasi mereka.

Dr Subramaniam berkata, kementerian juga berusaha meningkatkan pengeluaran pakar perubatan melalui laluan selari (parallel) dan program sarjana perubatan di UA.

Pada tahun lepas, katanya 30 peratus daripada bilangan pakar yang dikeluarkan kementerian adalah daripada laluan selari berbanding hanya 13 peratus pada 2009.

“Sehingga 31 Disember lepas, seramai 950 pegawai perubatan yang menyertai program kepakaran melalui laluan kepakaran selari telah berdaftar dengan Bahagian Perkembangan Perubatan mengikut bidang kepakaran,” katanya.

Dr Subramaniam berkata ketika ini terdapat 4,460 pakar perubatan yang berkhidmat dengan kementerian dengan beberapa sub kepakaran seperti kardiologi, pakar bedah saraf dan ahli nefrologi mengalami kekurangan tenaga pakar.

“Contohnya kardiotorasik, rawatannya terhad di beberapa hospital sahaja dan jumlah mereka (doktor pakar) juga terhad menyebabkan beban kerja mereka tinggi,” jelasnya.

Katanya, pada setiap tahun, kementerian melahirkan kira-kira 1,000 pakar perubatan melibatkan lebih 30 sub kepakaran bagi menggantikan mereka yang bersara atau meletak jawatan serta kekurangan pensyarah di UA dan IPTS.- Bernama

The post Doktor pakar kerajaan letak jawatan meningkat setiap tahun appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian