Isu terowong dasar laut Pulau Pinang: Dua ‘Datuk’ bebas reman


PUTRAJAYA, 2 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Dua pemimpin syarikat bergelar “Datuk” yang ditahan reman bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung projek pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang dibebaskan hari ini

Majistret Aida Kharuleen Azli memerintahkan pengarah eksekutif kanan sebuah syarikat konsortium berusia 59 tahun dan seorang timbalan pengerusi sebuah syarikat pembangunan hartanah, 50, dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM200,000 setiap seorang.

Pada 9 Januari, kedua-dua lelaki itu ditahan secara berasingan iaitu di sini dan Pulau Pinang dan kemudian direman enam hari bermula 10 Jan oleh Mahkamah Majistret Putrajaya dan Mahkamah Majistret George Town dan dilanjutkan reman selama lima hari bermula 15 Januari.

Penahanan kedua-dua lelaki itu adalah susulan serbuan SPRM di beberapa pejabat kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar), Pulau Pinang dan beberapa syarikat berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut itu.

SPRM dilaporkan menyerbu pejabat Jabatan Kerja Raya di Sungai Pinang, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, pejabat Tanah dan Galian serta Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta di Komtar susulan aduan Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. – Bernama

The post Isu terowong dasar laut Pulau Pinang: Dua ‘Datuk’ bebas reman appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian