Kes bunuh Zulfarhan Osman: Pendakwaan mahu buktikan penglibatan 19 penuntut UPNM


KUALA LUMPUR, 12 Jamadilawal 1439H, Isnin — Pihak pendakwaan mahu membuktikan bahawa kematian penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Pegawai Kadet Zulfarhan Osman Zulkarnain berpunca akibat dipukul, ditendang dan ditekap dengan seterika wap oleh 19 penuntut universiti itu sehingga mangsa mengalami luka lecur hampir 80 peratus badannya ekoran enggan mengaku mencuri sebuah komputer riba.

Timbalan Pendakwa Raya, Othman Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa pihak pendakwaan juga akan membuktikan kesemua 19 penuntut universiti itu terlibat dalam membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan si mati.

Dalam ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes itu, Othman berkata kesemua tertuduh telah memukul dengan tangan dan menendang mangsa selama tiga jam berturut-turut bermula pada 2.30 pagi 21 Mei 2017 sehingga 5.30 pagi hari sama, dan tindakan sama berulang dari 1.30 pagi sehingga 4.30 pagi pada 22 Mei 2017.

“Namun, nasib yang menimpa si mati (Zulfarhan Osman) tidak terhenti pada 4.30 pagi (22 Mei 2017). Fakta kes pendakwaan menunjukkan pada 4.45 pagi iaitu selepas sebahagian tertuduh telah keluar dari bilik 04-10 (asrama UPNM), soal siasat ke atas si mati telah diteruskan semula oleh tertuduh pertama hingga tertuduh keenam.

“Semasa soal siasat itu dibuat, tertuduh pertama memegang seterika wap, seterusnya tertuduh keenam telah menyuruh tertuduh pertama mencucuh si mati dengan seterika wap tersebut sehingga si mati menjerit kesakitan.

“Tertuduh kedua hingga kelima juga menggunakan seterika wap yang sama untuk mencucuh badan si mati. Perbuatan itu dihentikan setelah selesai azan subuh berkumandang pada kira-kira 5.45 pagi,” katanya di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah.

Beliau berkata pendakwaan melalui saksi Pakar Perubatan Forensik juga akan mengemukakan hasil bedah siasat yang menunjukkan si mati mengalami beberapa kecederaan pada badan dan sebab kematiannya adalah akibat luka bakar.

Menurutnya, terdapat kesan lecur tahap satu, dua dan tiga yang sedang mengalami proses penyembuhan pada tubuh mangsa.

“Komplikasi luka lecur adalah ‘hypovolemic shock’ (kekurangan cecair dalam badan), jangkitan kuman, organ penting rosak dan ketikdakseimbangan elektrolit sehingga boleh menyebabkan kematian selain terdapat pendarahan di bawah kulit kepala pada bahagian temporal kanan, kiri dan tengah kepala yang boleh diakibatkan oleh objek tumpul,” katanya.

Anggota keluarga tertuduh turut menghadiri perbicaraan kes itu, yang bermula pada 9.30 pagi, manakala tujuh anggota keluarga Zulfarhan Osman pula memakai baju T berwarna biru tertera #justice4farhan, #sayNOtoBULLY dan #humanity.

Kesemua tertuduh mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan dengan sengaja menyebabkan cedera terhadap Zulfarhan Osman bagi maksud hendak memeras mangsa untuk mendapatkan pengakuan mencuri komputer riba.

Sembilan belas tertuduh itu, yang kesemuanya berumur 22 tahun, ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri , Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar dan Muhamad Ashraf Abdullah.

Tertuduh lain ialah Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Akmal Akif Alias, Muhammad Adib Iman Fuad Adi Sany, Mohamad Syazwan Musa, Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dalam bilik 03-05 Blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 2.30 pagi dan 5.30 pagi, 21 Mei lalu dan di bilik 04-10, asrama sama, antara 1.30 pagi dan 4.30 pagi, 22 Mei 2017.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Lima daripada 19 penuntut berkenaan iaitu Muhammad Akmal Zuhairi, Muhammad Azamuddin, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin dan Mohamad Shobiri menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan Osman di tempat, masa dan tarikh sama manakala seorang lagi iaitu Abdoul Hakeem menghadapi pertuduhan bersubahat membunuh pelajar itu.

Lima tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntuk hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Abdoul Hakeem pula dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama-sama Seksyen 302 kanun sama yang membawa hukuman serupa. — Bernama

The post Kes bunuh Zulfarhan Osman: Pendakwaan mahu buktikan penglibatan 19 penuntut UPNM appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian