Kes demam denggi catat penurunan dua tahun berturut-turut

PUTRAJAYA, 22 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Kes demam denggi berjaya dikurangkan untuk tempoh dua tahun berturut-turut sejak 2015, hasil tindakan bersepadu daripada pelbagai kementerian, agensi, masyarakat dan individu, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, berbanding 2015 yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi sebanyak 120,836 kes, kes yang sama telah menunjukkan penurunan pada 2016 dan 2017 masing-masing kepada 101,357 kes dan 83,849 kes.

“Sebanyak 177 kes kematian akibat demam denggi direkodkan di seluruh negara pada tahun lepas, penurunan sebanyak 60 kematian berbanding 2016 iaitu 237 kes kematian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, Pasukan Petugas Khas Denggi Peringkat Kebangsaan yang terdiri daripada tujuh kementerian dan pelbagai agensi telah ditubuhkan pada Julai 2014 untuk menggerakkan agensi serta masyarakat dalam menjalankan aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

Ia termasuklah kerjasama dalam menjalankan beberapa aktiviti gotong-royong mega, operasi penguatkuasaan, iklan dan promosi pencegahan demam denggi serta program pendidikan kepada pelajar dan masyarakat.

Noor Hisham berkata, menerusi operasi pengkuatkuasaan bersepadu yang dijalankan pada tahun lepas, sebanyak 2,458 tapak pembinaan, 13,408 tapak komersial, 639 tapak semaian dan 1,698 premis barang lusuh telah diperiksa.

“Hasil pemeriksaan, sejumlah 1,702 kompaun dengan nilai RM534,000 telah dikeluarkan manakala 38 tapak binaan telah menerima arahan penutupan,” katanya.

Dalam pada itu katanya, jumlah kes Chikungunya yang direkodkan pada tahun lepas adalah sebanyak 270 kes iaitu 190 kes dari Kedah, 33 kes (Selangor), 24 kes (Johor), 19 kes (Kelantan) dan masing-masing dua kes dari Perak dan Sarawak.

Pemantauan sistem survelan virus Zika juga terus dipergiatkan dan sehingga 30 Dis 2017, keputusan ujian bagi 2,304 sampel darah dan 33 sampel air kencing dalam kalangan pesakit yang menunjukkan gejala jangkitan virus Zika didapati negatif, katanya.- Bernama

The post Kes demam denggi catat penurunan dua tahun berturut-turut appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian