KPM luluskan tambahan 126 sekolah untuk laksana DLP tahun ini

PADANG TERAP, 17 Rabiulakhir 1439H, Jumaat – Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini mengumumkan kementeriannya meluluskan penambahan 126 sekolah di seluruh negara untuk melaksanakan Program Dwibahasa (DLP) pada tahun ini.

Mahdzir yang juga Anggota Parlimen Padang Terap berkata, kelulusan itu diberikan selepas mengambil kira kesemua sekolah itu yang telah memenuhi segala kriteria yang digariskan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk melaksanakan DLP berkenaan.

“Disember lalu, kita telah menerima sebanyak 214 pemohonan untuk melaksanakan DLP dan selepas penilaian dibuat, sebanyak 88 sekolah sahaja yang diluluskan.

Hari ini, saya ingin umumkan bahawa baki 126 sekolah lagi telah diluluskan untuk melaksanakan DLP, ” katanya kepada pemberita selepas melawat keluarga bekas guru Allahyarham Md Zain Saad di kediamannya di Perumahan Awam Kampung Baru di Kuala Nerang di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, pemohonan itu wajar diluluskan apabila sekolah itu berjaya memenuhi empat syarat utama iaitu mempunyai sumber mencukupi, kesediaan pengetua atau guru besar dan guru, permintaan dan sokongan ibu bapa serta pencapaian sekolah dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu.

Beliau berkata, kelulusan itu menjadikan keseluruhan sekolah yang akan melaksanakan DLP adalah sebanyak 1,429 sekolah iaitu sebanyak 1,215 sekolah sudah melaksanakan sejak 2016 dan tahun lepas manakala selebihnya merupakan sekolah yang baharu akan melaksanakan DLP tahun ini.

“Kita yakin, pihak sekolah yang memohon DLP ini dapat melaksanakan DLP ini dengan baik kerana ia menunjukkan bahawa pihak sekolah dan ibu bapa pelajar sekolah terbabit telah bersedia dan mahukan program DLP itu dijalankan.

“Setiap tahun, pemohonan untuk melaksanakan DLP ini meningkat jadi ini menunjukkan bahawa ia mendapat permintaan tinggi terutamanya daripada pihak ibu bapa yang tahu tentang kepentingan DLP kepada anak-anak mereka,” katanya.

Katanya, kerajaan juga mengambil pelbagai langkah proaktif bagi memantapkan dan memperkasakan Bahasa Inggeris guru-guru termasuk menyediakan Pusat Latihan Bahasa Inggeris (ELTC). -Bernama

The post KPM luluskan tambahan 126 sekolah untuk laksana DLP tahun ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian