Mereka Bertanya Apa Jasa Dr Mahathir Kepada Orang Melayu?

PERNAH baca buku ‘The Malay Dilemma’? Tidak! Tentunya pihak yang satu lagi itu juga tidak pernah membaca ‘A Doctor In The House’.

Maka di sinilah segala punca masalah bermula. Buku itu mendedahkan sebahagian besar pemikiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Akibat daripada itu mereka hanya mendengar segala-galanya berkenaan Dr Mahathir daripada musuh beliau.

Buku ‘The Malay Dilemma’ sebenarnya antara sumbangan terbesar Dr Mahathir kepada orang Melayu. Ia mengisahkan masalah orang Melayu secara terus terang. Ia mengisahkan sikap orang Melayu yang mudah putus asa bila gagal dan mudah berpuas hati bila berjaya.

Mungkin artikel ini tidak cukup ruang untuk menulis segala-galanya yang ditulis oleh Dr Mahathir di dalam buku tersebut. Buku itu adalah bilik bedah siasat untuk Dr Mahathir cuba mencari penyelesaian kepada masalah orang Melayu.

Beliau sejak Munsyi Abdullah dan Zaaba, adalah penulis yang benar-benar menulis secara tepat permasalahan orang Melayu di negara ini. Pada beliau sikap adalah segala-galanya. Ia dapat mengubah cara berfikir orang Melayu yang ‘fragile’ kepada bangsa yang yakin kepada diri sendiri dan seterusnya dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia ini.

Begitulah rasa sayang beliau kepada bangsa Melayu sehingga banyak masanya dihabiskan untuk menyiapkan buku ini.

Iqra. Itulah perkataan pertama yang diajar Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW. Bacalah!. Kerana daripada pembacaan barulah seseorang itu menjadi seorang yang berilmu.

Dr Mahathir mahu bangsa Melayu menjadi bangsa yang berilmu menerusi minat membaca yang mendalam. Pada hari ini mereka yang menjadi penyokong beliau adalah daripada golongan berilmu yang minat membaca. Hasilnya mereka dapat memahami cara pemikiran beliau sebagai pemimpin.

Sebab-sebab beliau bertindak dan membuat sesuatu keputusan dapat difahami bagi sesiapa yang membaca buku-buku beliau. Apa yang dikatakan sebagai kroni itu sebenarnya adalah strategi beliau untuk membantu orang Melayu.

Dengan melantik dan memberi peluang niaga kepada tokoh-tokoh usahawan Melayu yang telah terbukti rekod kecemerlangan di masa lalu, beliau mengharapkan tokoh-tokoh tersebut akan membantu pula ramai lagi usahawan Melayu untuk berjaya. Namun, tidak semua yang diharapkan berjaya.

Ada Melayu yang mudah gayat bila tiba-tiba berada di tempat yang tinggi. Adalah tidak adil meletak kegagalan tersebut di atas bahu Dr Mahathir. Beliau cuba memberi peluang kepada orang Melayu yang layak dan berkebolehan. Tetapi ada di antaranya di penghujung hari menjadi Melayu mudah lupa. Dato Seri Anwar Ibrahim mengelar golongan korporat lupa diri ini sebagai golongan ‘keparat’.

Oleh itu berbalik kepada soalan apa jasa Dr Mahathir kepada orang Melayu? Jawapannya tak perlu banyak. Cuma dengan sebuah buku The Malay Dilemma itu sudah memadai. Jika hendak disambung dengan jawapan jasa Dr Mahathir kepada orang Melayu setelah beliau menjadi Perdana Menteri, mungkin artikel ini bukanlah tempat yang sesuai kerana kisahnya terlalu panjang.

Bacalah buku-buku tulisan Dr Mahathir dan selepas itu penulis percaya akan timbul satu kesedaran mendalam terhadap diri sendiri. Buku beliau setaraf dan sama hebatnya dengan seorang lagi negarawan genius dari seberang Tambak Johor, mendiang Lee Kuan Yew.

Ingat! Iqra.. bacalah wahai Muhammad. Oleh itu kepada semua Melayu umat Muhammad bacalah agar kamu menjadi manusia yang berilmu seperti Dr Mahathir.

Sesungguhnya ilmu itu pelita hidup dan ilmu itu juga yang menyebabkan darjat manusia itu berbeza, bukan harta, bukan pangkat atau wang ringgit. – Selamat Malam

Rayyan Adam

Peringatan: Tulisan ini adalah pendapat penulis dan tidak ada kena mengena dengan polisi dan dasar Ismaweb.net atau Media Isma Sdn Bhd.

The post Mereka Bertanya Apa Jasa Dr Mahathir Kepada Orang Melayu? appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian