Pertaruh Tun M sebagai PM keputusan bijak tetapi…..

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 22 Rabiulakhir 1439H, Selasa – Keputusan Pakatan Harapan mempertaruhkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh sekiranya gabungan pembangkang itu menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti, suatu percaturan bijak buat masa ini.

Bagaimanapun, penganalisis politik, Prof Madya Dr Mohd Noor Mat Yazid berkata, kebijaksanaan itu tidak bersifat panjang, jika rakyat mengungkit semula sejarah politik yang ditinggalkan bekas Perdana Menteri yang mentadbir Malaysia selama 22 tahun itu.

Beliau menjangkakan, percaturan yang dibuat Pakatan Harapan dengan memilih Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri mewakili pembangkang, tidak boleh menyuntik sokongan besar pengundi kepada gabungan itu.

“Apabila Dr Mahathir kembali semula ke jawatan itu (Perdana Menteri), kita tahu ia berikutan konflik yang berlaku antara beliau dengan Datuk Seri Najib Razak.

“Perkara itu jelas apabila beliau melakukan tindakan yang berbeza daripada zaman pemerintahannya, sebagai contoh, berbaik semula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bagaimanapun, untuk mencapai matlamat politik, beliau mengetepikan perkara itu, sedangkan Dr Mahathirlah individu yang memecat Anwar dengan cara tidak demokratik dahulu,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Malah, Dr Mohd Noor juga meramalkan pemilihan Dr Mahathir sebagai calon Perdana Menteri tidak membantu pembangkang meraih sokongan majoriti pengundi, memandangkan kerjasama beliau dengan parti rasis dan cauvinis DAP.

Katanya, pendirian untuk bersama dengan musuh politiknya dahulu adalah satu tindakan yang tidak disukai oleh orang Melayu khususnya.

“Tindakan beliau bertentangan dengan sebelum ini, apabila benar-benar memusuhi parti (DAP) yang kita sedia tahu tidak mesra Islam dan Melayu.

“Jadi, faktor itu juga memungkinkan Dr Mahathir dan Bersatu gagal mendapatkan sokongan kuat daripada pengundi Melayu,” katanya.

Dr Mohd Noor berkata, PRU14 bakal membawa corak yang berbeza dalam politik negara, ditambah dengan keadaan rakyat yang mungkin berada dalam dilema untuk memilih.

“Keputusan pilihan raya kali ini mungkin sukar untuk Pakatan Harapan dan Bersatu mendapat kemenangan besar untuk membentuk kerajaan.

“Sekalipun menang, ianya hanya kemenangan tipis. Tetapi, saya merasakan rakyat sukar untuk berpihak kepada pembangkang secara besar-besaran,” katanya.

The post Pertaruh Tun M sebagai PM keputusan bijak tetapi….. appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian