PNB diharap tidak terjerumus sama dalam kancah kehinaan: Kadir Jasin


BANGI, 13 Rabiulakhir 1439H, Isnin – Permodalan Nasional Berhad (PNB) diingatkan agar tidak sama terjerumus dalam kancah ‘kehinaan’ yang telah menjejaskan agensi amanah yang lain.

Tokoh Wartawan Negara, Datuk A Kadir Jasin berkata, dengan begitu banyak agensi amanah mengalami bencana akibat penyelewengan, pecah amanah, rasuah dan salah tadbir, PNB perlu memastikan nama baiknya tidak tercemar dengan tunduk kepada campur tangan luar.

“Saya masih tidak selesa dengan keputusan PNB meneruskan cadangan membina pencakar langit Menara Warisan Merdeka 118 pada saat-saat bekalan ruang pejabat dan komersial berlebihan di ibu negara dan sekitarnya.

“PNB telah pun berhutang RM2 bilion bagi menampung kos projek yang dianggarkan RM5 bilion.

“Saya tidak mahu mengungkit mengenai nombor plat khas yang dibeli dengan harga RM410,006 kononnya untuk penjenamaan tetapi elok kita pantau kesan jangka panjang penyusunan korporat yang ia lakukan ke atas Kumpulan Sime Darby baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bahkan, bukan itu sahaja yang membimbangkan, pulangan ASB juga makin menunjukkan kemerosotan.

Meskipun Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar memberi gambaran positif mengenai pulangan ASB dan prestasi PNB, namun, Kadir Jasin menegaskan, kadar dividen dan bonus sebenarnya telah merosot secara berterusan untuk satu jangka masa yang panjang.

“Dividen dan bonus jatuh daripada 8.90 sen seunit pada tahun 2012 kepada 8.70 sen pada tahun 2013, 8.50 sen (2014), 7.75 sen (2015) dan 7.25 sen (2016).

“Kadar pulangan agak tinggi pada tahun 2012 kerana menjelangnya Pilihan Raya Umum (PRU) 2013.

“Purata dividen dan bonus pada tahun 1990-an adalah 12.50 sen manakala di antara tahun 2000 dengan 2009 kadarnya 9.30 sen. Purata pulangan bagi tempoh 2010 hingga 2017 adalah 8.20 sen,” katanya.

Mengulas perkara itu, beliau berkata, hakikat bahawa pulangan tahun ini tidak lebih tinggi daripada tahun-tahun sebelumnya walaupun PRU14 akan menjelang menunjukkan bahawa prestasi ekonomi sangat lemah sehingga PNB tidak dapat membantu menaikkan imej kerajaan dengan membayar dividen dan bonus yang lebih tinggi.

“Walaupun kita tidak menafikan kejayaan PNB menjana ekonomi Bumiputera dan membahagikan kekayaan melalui skim saham amanah, namun keupayaan Bumiputera melabur nampaknya amat terhad dan mungkin menjadi lebih lemah dalam suasana ekonomi sekarang.

“Jumlah RM10.7 bilion yang akan diagihkan itu mungkin besar bunyinya tetapi apabila dibahagikan dengan bilangan pelabur seramai 9.1 juta, purata pendapatan hanyalah RM1,175.82 seorang.

“Itu pun kalau semua melabur jumlah yang sama. Tetapi keadaan sebenar amat menyedihkan,” katanya.

The post PNB diharap tidak terjerumus sama dalam kancah kehinaan: Kadir Jasin appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian