SPRM buru dua individu bantu siasatan kes pembelian tanah di Sabah

BANGI, 15 Rabiulakhir 1439H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dua individu termasuk seorang lelaki berpangkat ‘Datuk’, bagi membantu siasatan kes pembelian tanah ladang kelapa sawit bernilai RM155 juta di Tongod, Sabah.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan suruhanjaya itu, dua individu berkenaan dikenali sebagai Datuk Peter Anthony, 46, dan Michael Persius Ubu, 61.

Kedua-dua mereka masing-masing mempunyai alamat terakhir di House No. 20 Taman Cantek Phase 4, Lorong Bunga Dahlia 3 dan Lot 8-G, Lorong Rainfield 1, Taman Rainfield, Kota Kinabalu.

“Kedua-duanya diberi tempoh selama 48 jam untuk menyerah diri di Pejabat SPRM Negeri Sabah bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan oleh pasukan penyiasat.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai individu berkenaan diminta menghubungi Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Tharuzi Mohd. Nor di talian 013-9557850,” kata kenyataan itu, hari ini.

Menerusi kenyataan berasingan hari ini, suruhanjaya itu turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah supaya tampil melaporkan kegiatan itu kepada SPRM.

Menurut SPRM, pihaknya memandang serius perbuatan penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah khususnya melibatkan dana kerajaan yang disalurkan kepada rakyat serta pembangunan negara, termasuk dana orang ramai di syarikat-syarikat swasta.

Jelas suruhanjaya itu, perkara berkenaan dapat dilihat dengan beberapa pertuduhan yang telah dilaksanakan SPRM baru-baru ini, membabitkan bekas pegawai dan pegawai kanan Pusat Pembangunan Kemahiran Perindustrian Melaka (MISDEC).

Semalam, Zamrud Mansor, 77, dan anaknya, Hazizul Zamrud, 44 didakwa melakukan pecah amanah dengan membuat pembayaran sebanyak RM4.3 juta kepada Syarikat MISDEC Resources Sdn. Bhd. dan RM280,000 kepada tujuh syarikat pembekal lain atas pelbagai urusan.

Hari ini, bekas Pegawai Eksekutif DKSH Transport Agencies (M) Sdn. Bhd., Chan Foo Chin telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru kerana melakukan jenayah pecah amanah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan kerana menyalahgunakan dana syarikat dengan meluluskan pembayaran berjumlah RM864,000.00 melalui tiga transaksi cek.

DKSH merupakan sebuah syarikat yang tersenarai dalam papan utama Bursa Saham Berhad.

“SPRM akan terus memastikan dana-dana yang diperuntukan ini sampai kepada masyarakat atau golongan sasaran seperti yang telah ditetapkan dan memastikan mereka yang terlibat dengan rasuah, penyelewengan, salah guna kuasa dan pecah amanah disiasat dan dibawa ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu.

The post SPRM buru dua individu bantu siasatan kes pembelian tanah di Sabah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian