SPRM tumpu bayaran RM305 juta bina terowong Pulau Pinang

KUALA LUMPUR, 25 Rabiulakhir 1439H, Sabtu – Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan kajian pembinaan terowong dasar laut di Pulau Pinang kini, menjurus kepada pembayaran RM305 juta yang dibuat kepada syarikat-syarikat yang dilantik untuk membuat kajian kebolehlaksanaan oleh kerajaan negeri itu.

Menurut sumber, pasukan penyiasat SPRM kini sedang merakam keterangan saksi-saksi dalam syarikat yang dilantik itu, bagi mengenal pasti proses pembayaran berkenaan.

“Menerusi penelitian dokumen yang dirampas dalam proses siasatan, maka dipercayai dapat membantu untuk mengenal pasti sama ada bayaran tersebut (RM305 juta) adalah nilai sebenar atau yang telah dinaikkan.

“Selain itu, SPRM juga sedang menyiasat sama ada syarikat-syarikat itu mempunyai pengiktirafan untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, SPRM perlu melihat sama ada pakar-pakar yang dilantik untuk membuat kajian berkenaan mempunyai kepakaran khusus dalam membuat kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

“Tidak kira sama ada pakar-pakar yang dilantik itu adalah terdiri daripada kerajaan mahupun pihak swasta, apa yang penting mereka perlu mempunyai kepakaran untuk menjalan kajian terowong dasar laut,” kata sumber itu.

Difahamkan, kerajaan telah menetapkan piawaian kepakaran untuk menjalankan semua kajian kebolehlaksanaan terowong dasar laut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menyiasat secara terperinci berhubung pembayaran penganugerahan pelaksanaan kajian terowong dasar laut itu.

Beliau berkata, disebabkan ia melibatkan aspek teknikal yang perlu dilihat secara mendalam, maka pasukan penyiasat memerlukan masa bagi menyiasat kes itu.

“Saya meminta semua pihak memberikan ruang dan peluang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan pihaknya masih dalam proses merakam percakapan saksi-saksi penting yang dipercayai dapat membantu melengkapkan siasatan ini.

“Kami akan memanggil beberapa individu penting dalam masa terdekat untuk merakam percakapan mereka berhubung kes ini,” katanya.

Azam berkata, SPRM hari ini telah merakam percakapan lapan individu termasuk setiausaha syarikat, penasihat dan perunding-perunding syarikat serta menggeledah sembilan syarikat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur bagi membantu siasatan .

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Sebelum ini, projek itu mencetuskan pelbagai kontroversi antaranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran melibatkan pertukaran tanah kerajaan negeri serta pelaksanaannya dibantah penduduk negeri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar. – Bernama

The post SPRM tumpu bayaran RM305 juta bina terowong Pulau Pinang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian