Ucapan luar biasa

ANTARA method paling klasik dan konvensional untuk mempengaruhi ialah dengan menyampaikan ucapan atau pidato berimpak tinggi. Mudah disebut, namun amat sukar untuk diamalkan. Kecuali bagi sebahagian individu yang terlatih dan dikurniakan dengan bakat istimewa. Namun, saya yakin sebenarnya ucapan mempengaruhi berimpak tinggi mampu dilakukan oleh semua orang, jika kena gayanya. Di sini saya dedahkan beberapa rahsia yang jarang diketahui umum:

1. Tingkatkan Keghairahan: Cari motif terbesar ucapan dan bina kesungguhan serta minat yang luar biasa terhadapnya. Anda tidak akan mampu menarik perhatian para pendengar jika tidak terlebih dahulu menarik minat diri sendiri terhadap topik yang ingin disampaikan. Keterujaan anda dalam menyampaikan ucapan akan menyebabkan segala kerisauan dan ketakutan hilang. Anda akan kelihatan begitu selesa, meyakinkan dan bergaya seolah-olah sedang bercakap tentang tajuk yang paling anda kuasai di atas muka bumi ini. Antara cara mudah untuk membina keghairahan dan minat ialah bergaul dengan orang-orang yang bermotivasi tinggi dan positif. Jadikan mereka kawan rapat, minta pandangan mereka, saling berkongsi pengalaman dan tips berguna serta bantu-membantu dalam memperbaiki kemahiran pidato masing-masing

2. Kuasai Teknik Penceritaan: Cerita merupakan teknik paling ampuh untuk mempengaruhi orang lain. Ia menyentuh minda dan jiwa. Ia menerobos dalam ke kantung emosi. Ia akan menyebabkan ucapan anda akan selamanya diingati. Berdasarkan kajian, teknik penceritaan terbukti lebih berkesan berbanding kredibiliti pembicara mahupun kekuatan data yang dipersembahkannya. Apa yang anda perlu fokuskan dalam ucapan anda ialah berkongsi kisah peribadi (lebih ‘personal’ dan ‘private’ lebih kuat kesannya), kisah orang lain yang dikenali (jika dikenali para pendengar lebih baik) atau kisah kejayaan universal yang sering dijaja ramai. Untuk menambah perisa, perkayakan perkataan yang digunakan untuk mengaktifkan pelbagai deria (penglihatan, pendengaran, rasa, bau dan lain-lain) sehingga para pendengar dapat menghayati secara total seolah-olah mereka sedang melalui sendiri pengalaman yang anda kongsikan

3. Bersembang: Cerita akan lebih kuat kesannya jika disampaikan dalam bentuk dialog (ayat aktif) berbanding bentuk karangan (ayat pasif). Al-Quran juga banyak menyampaikan cerita dalam bentuk dialog. Bahasa mudahnya, ayat sembang. Anda cuma perlu bersembang dengan nada semulajadi (tidak perlu dibuat-buat secara berlebihan) dengan para pendengar, barulah hubungan dan reputasi akan terbentuk dengan baik. Semulajadi tidaklah bermakna tiada penyusunan isi, perancangan slot dan latihan yang dilakukan. Ia tetap sesuatu yang wajib dalam apa jua jenis ucapan. Semulajadi bermaksud menjadi diri anda yang sebenar (dan diri anda yang terbaik). Semulajadi juga bermaksud bahasa badan yang anda gunakan selaras dengan isi yang disampaikan. Ya, sudah tentu menguasai teknik bahasa badan (body language) ini juga memerlukan sesi latihan yang intensif dan terfokus

4. Dedahkan Maklumat Baru: Kejutkan para pendengar anda dengan data atau maklumat yang baru dan mungkin pertama kali didengari. Kajian menunjukkan secara psikologinya manusia sukakan sesuatu yang unik, mengejutkan dan berbaur kontroversi atau konspirasi. Ini menerangkan kepada kita kenapa majalah-majalah hiburan yang menghidangkan gosip-gosip panas sering mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari para pembaca. Walaupun anda berbicara tentang topik biasa, tapi cari satu maklumat baru yang mengujakan atau pakejkan semula isi secara luar biasa. Anda juga boleh menyentuh isu yang sama dari sudut pandang yang baru atau menggunakan kaedah penyampaian yang berbeza. Jika tidak menjumpai apa-apa yang baru, cuma kongsikan kisah peribadi anda yang boleh dikaitkan dengan topik ucapan

5. Cipta Saat Teruja Maksimum: Maklumat baru semata-mata tidak memadai sebenarnya, anda memerlukan kejutan yang lebih besar dan hebat untuk memberikan impak kekal kepada para pendengar. Anda perlu mencipta saat teruja maksimum yang memiliki ‘wow factor’ tersendiri. Ia merupakan saat yang mengubah suasana ucapan anda, meningkatkan minat dan tumpuan peserta serta akan kekal dalam memori dan minda separa sedar mereka dalam jangkamasa yang panjang. Tekniknya pelbagai, anda boleh gunakan alat bantu, demonstrasi, gambar dan video, kata-kata keramat atau ucapan pujangga (punchline) dan juga kisah-kisah inspirasi. Anda juga boleh menjerit, melompat dan menyanyi. Jika para pendengar dilibatkan bersama, kesannya akan lebih kuat dan menyeluruh

6. Berjenaka: Anda tidak perlu menjadi seorang yang terlalu kelakar ataupun pelawak yang berpengalaman untuk menarik minat para pendengar. Cukup sekadar kemampuan berkongsi jenaka ringan yang menghiburkan dan mengurangkan tekanan persekitaran. Paling penting jangan terlalu serius atau bengis. Ukirkan senyuman manis di wajah anda dengan ikhlas dan semulajadi. Secara psikologinya manusia akan mengurangkan pertahanan diri (defence) dan lebih mudah menyukai anda jika anda beperwatakan mesra dan mudah didekati. Dan kalau dah suka, apa sahaja yang datang dari anda akan jadi idola. Antara beberapa teknik untuk melakukannya ialah dengan cara berkongsi berkongsi cerita dan pengalaman (sebaiknya yang berkaitan dengan pendengar), menggunakan analogi dan perumpamaan serta menggunakan pelbagai sumber gambar, video dan kata-kata yang menggelikan hati untuk mencetus suasana ceria

7. Ingat Undang-Undang 18 minit: Ini merupakan salah satu daripada puluhan undang-undang yang perlu ana patuhi, kerana ia dibuktikan oleh kajian pakar secara saintifik. Masa maksimum ucapan anda yang boleh mendapat perhatian penuh para pendengar ialah selama 18 minit sahaja! Jika anda perlukan masa yang lebih, pastikan rehat ataupun selingan berlaku setiap 10 minit bagi memastikan fokus dan tumpuan para pendengar kekal tinggi. Ingat, mendengar merupakan proses yang memenatkan kerana banyak informasi perlu dicerna. Jadi, anda perlu meringkaskan apa yang patut. Sebagai persediaan sebelum ucapan, bina satu mesej teras ucapan anda yang merumuskan seluruh pembentangan, kemudian cambahkan mesej ini kepada hanya tiga isi utama yang disokong oleh pelbagai fakta, cerita dan dalil seadanya. Kerangka ucapan seperti ini dapat membantu anda menerangkan tajuk yang kompleks dengan sangat mudah, menjimatkan masa ucapan serta meningkatkan minat para pendengar

8. Rangsang Pelbagai Deria: Pastikan ucapan atau pembentangan anda merangsang semua deria manusia seperti melihat (gambar, video & alat bantu) , mendengar (bahan audio & kepelbagaian intonasi suara anda), menghidu (bau yang enak) dan merasa (aktiviti fizikal & demonstrasi). Kajian membuktikan bahawa otak manusia sukar memberikan perhatian kepada perkara yang rutin, berulang dan membosankan. Sebaliknya sesuatu yang interaktif mampu menarik minat, mengukuhkan ingatan terhadap ucapan dan mengekalkan fokus. Caranya cukup mudah. Jika anda menggunakan Powerpoint, banyakkan gambar dan video serta kurangkan bilangan perkataan. Elakkan penggunaan ‘bullet point’. Pelbagaikan cara penyampaian dan jika sesuai, anjurkan pelbagai aktiviti, simulasi serta perbincangan dua hala yang menyentuh emosi

9. Telus dan Ikhlas: Walaupun diletakkan pada turutan kesembilan tapi sebenarnya rahsia inilah yang paling penting dan utama untuk diamalkan dalam pengucapan awam. Tanpanya, kesemua lapan rahsia yang didedahkan di atas tidak akan bermakna apa-apa. Untuk menyampaikan ucapan yang hebat, anda perlu ikhlas dan menjadi diri anda sendiri. Ya, jadi diri anda yang terbaik. Kepercayaan serta teladan (qudwah) terhadap apa yang anda sebutkan mempunyai kekuatan luar biasa yang tersendiri untuk mempengaruhi para pendengar. Seperti apa yang biasa disebut orang, apa yang datang dari hati akan jatuh ke dalam hati. Anda tidak perlu berlakon, meniru gaya atau perwatakan idola anda mahupun berlebihan dalam mempraktikkan teknik pengucapan awam berimpak tinggi. Jika anda melakukannya, dua akibat besar akan berlaku. Anda akan kepenatan dan para pendengar dengan mudah boleh mengesan

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Ketua Biro Latihan Kepimpinan ISMA

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Isma, sebuah pertubuhan Islam sederhana dan portal Ismaweb.net

The post Ucapan luar biasa appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian