Azmin kena perjelas tanah RM1.18b di Ijok diserah kepada 2 syarikat

CYBERJAYA, 28 Jamadilawal 1439H, Rabu – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali didesak memberikan penjelasan berhubung tindakan tergesa-gesa kerajaan negeri Selangor menyerahkan tanah bernilai RM1.18 bilion di mukim Ijok kepada dua syarikat pada 2016.

Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, tindakan itu menjadi persoalan kerana keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan telah memihak kepada kerajaan negeri pada 2013 dan 2014 dalam kes mengambil alih semula tanah kerajaan negeri yang dimiliki oleh syarikat Mujur Zaman Sdn Bhd dan LBCN Development Sdn Bhd.

Beliau mempersoalkan justifikasi Azmin tidak menunggu kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Persekutuan memandangkan kerajaan negeri Selangor telah menang di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

“Kenapa Azmin tergesa-gesa membuat keputusan yang nyata merugikan kerajaan dan rakyat Selangor.

“Kalau niat Azmin ingin menyelesaikan tuntutan dan isu pampasan kepada peneroka, mengapa beliau tidak menjual tanah tersebut secara langsung kepada syarikat awam dan menggunakan hasil jualan RM1.18 bilion untuk membayar pampasan tersebut,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Pada November lepas, beberapa pertubuhan bukan kerajaan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta siasatan terhadap tanah berkenaan yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada dua syarikat itu.

Pada 2008, kerajaan negeri Selangor yang ketika itu di bawah kepimpinan Menteri Besar ,Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah mengambil alih semula tanah kerajaan negeri seluas kira-kira 880 hektar yang dimiliki dua syarikat itu kerana pelanggaran syarat dan terma perjanjian.

Abdul Rahman yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, kerajaan Selangor ketika di bawah kepimpinan BN telah memberikan tanah tersebut kepada hampir 1,000 peneroka di Ijok, Selangor pada 1998, dan membenarkan Mujur Zaman dan LBCN Development untuk membangunkan tanah tersebut, termasuk perumahan serta wang pampasan kepada peneroka.

Katanya, setelah 10 tahun, projek perumahan dan wang pampasan tidak dapat ditunaikan oleh syarikat berkenaan menyebabkan Abdul Khalid merampas semula tanah itu kerana melanggar syarat Kanun Tanah Negara.

“Antaranya (syarat dilanggar) ialah tidak membayar premium tanah, tidak menukar syarat tanah pertanian kepada tanah perumahan serta tidak membayar premium tukar syarat tanah,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua syarikat itu kemudian menyaman kerajaan negeri Selangor dan Abdul Khalid di Mahkamah Tinggi untuk mendapatkan balik tanah tersebut.

“Tetapi, apabila Azmin menjadi Menteri Besar, dan sebelum Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan kes ini, Mujur Zaman dan LBCN Development dan beberapa syarikat berkaitan telah membuat perjanjian dengan sebuah syarikat awam untuk menjual tanah itu dengan RM1.18 bilon dengan syarat syarikat-syarikat itu mendapat kelulusan negeri Selangor pada September 2015,” katanya.

Abdul Rahman berkata, tindakan Azmin memang mencurigakan kerana pada 17 Mei 2016 telah memfailkan satu perjanjian penyelesaian kepada Mahkamah Persekutuan bahawa kerajaan Selangor dan Mujur Zaman dan LBCN Development telah bersetuju membatalkan kes berkenaan dan Azmin juga membuat keputusan drastik untuk menyerahkan semula tanah-tanah tersebut kepada dua syarikat itu.

Beberapa hari lepas, Azmin telah mengumumkan pembayaran pampasan kepada semua 980 peneroka berbentuk pampasan tunai RM180,000 seorang dan sebuah rumah bernilai RM250,000, menjadikan jumlah penerimaan pampasan adalah bernilai RM421.4 juta.

“Saya mahu mempersoalkan Azmin. Tanah itu bernilai RM1.18 bilion dan peneroka dibayar pampasan sejumlah RM421.4 juta. Di manakah baki RM758.6 juta dan mengapa peneroka dibayar nilai pampasan yang sama seperti dijanjikan 20 tahun lalu. Nilai tanah pun sudah meningkat dan peneroka pula dibayar dengan pampasan itu. Ke manakah perginya duit itu,” katanya.

Justeru, Abdul Rahman mempersoalkan adakah Datuk Seri Khairudin Abdul Hasan yang merupakan bekas pengarah eksekutif kedua-dua syarikat itu memainkan peranan dalam mempengaruhi keputusan Azmin untuk menarik balik kes itu dan memberikan tanah itu semula kepada syarikatnya.

Khairudin telah diisytihar muflis pada 2014.

Abdul Rahman berkata, sekiranya Mahkamah Persekutuan memihak kepada kerajaan negeri Selangor berhubung rampasan tanah itu, nilai RM1.18 bilion itu akan disalurkan kepada kerajaan negeri dan duit itu boleh digunakan untuk menjayakan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat negeri itu. – Bernama

The post Azmin kena perjelas tanah RM1.18b di Ijok diserah kepada 2 syarikat appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian