Bahagian khas tangan isu Syariah mesti ikut kerangka Perlembagaan

 

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 18 Jamadilawal 1439H, Ahad – Pakar Perlembagaan, Prof Madya Dr Shamrahayu Ab Aziz menyambut baik langkah Jabatan Peguam Negara menubuhkan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang bagi menangani isu-isu berkaitan agama Islam.

Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu berkata, isu pengharmonian undang-undang ini sebenarnya sudah menjadi topik perbincangan hampir 40 tahun lalu.

“Sesungguhnya ia amat dialu-alukan. Saya harap dengan penubuhannya, ia dapat memberikan penjelasan kepada polemik dan menyelesaikan konflik perundangan negara.

“Semakin panjang masa konflik, semakin banyak polemik. Banyak dan panjangnya masa polemik boleh menggugat ketenteraman negara. Ia perlu diselesaikan dan Jabatan Peguam Negara telah mengambil inisiatif terbaik,” katanya menulis di Utusan Online, hari ini.

Baru-baru ini, Jabatan Peguam Negara memaklumkan penubuhan Bahagian Syariah dan Pengharmonian Undang-Undang adalah penting kerana akan menumpukan isu-isu syariah yang dirujuk berkaitan nasihat undang-undang, penggubalan.

Ia termasuk penyelarasan undang-undang syariah dan ratifikasi sesuatu konvensyen antarabangsa yang mempunyai kesan kepada aspek Syariah.

Selain itu, bahagian itu juga akan menumpukan kepada pengharmonian antara undang-undang sivil dengan undang-undang syariah bagi mengatasi konflik bidang kuasa antara mahkamah sivil dengan Mahkamah Syariah.

Bagaimanapun, Prof Shamrahayu berkata, pengharmonian ini bukan mudah untuk dilaksanakan jika Jabatan Peguam Negara tidak memberi perhatian berkaitan kerangka Perlembagaan Persekutuan dan kepakaran perundangan Syariah.

Katanya, perkara berkaitan kerangka perundangan ini perlu melibatkan hal-hal berkaitan kuasa perundangan Islam yang rata-ratanya difahami sebagai suatu subjek di bawah bidang kuasa negeri.

“Namun, jika diteliti dengan lebih mendalam lagi, adalah didapati bahawa Pejabat Peguam Negara juga boleh dan perlu memainkan peranan dalam Perundangan Syariah,” katanya.

Selain itu beliau yang juga Felo Utama Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) berkata, apa sahaja nasihat perundangan yang disampaikan Peguam Negara kepada Yang di-Pertuan Agong hendaklah menepati hukum syarak.

Katanya, meskipun Yang di-Pertuan Agong bukan Ketua Agama bagi keseluruhan Persekutuan, tetapi baginda menggalas tanggungjawab memelihara agama Islam, termasuk perundangan Islam.

Malahan, pakar perundangan Syariah juga perlu membentuk korum pengharmonian undang-undang.

“Mereka yang berkepakaran dalam Perundangan Syariah perlu digembleng dalam menentukan pemilihan pandangan hukum syarak yang terbaik bagi masyarakat Malaysia serta mampu memberikan justifikasi pemilihan tersebut.

“Justeru, Komuniti Syariah yang pernah diaktifkan oleh Pejabat Peguam Negara pada masa lalu perlu diteruskan dan diperkemaskan supaya komuniti ini dapat berfungsi lebih berkesan dalam membantu Pejabat Peguam Negara membuat pengharmonian undang-undang terbaik,” katanya.

The post Bahagian khas tangan isu Syariah mesti ikut kerangka Perlembagaan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian