Bangladesh sediakan pulau untuk kem pelarian Rohingya

COX’S BAZAR, 6 Jamadilakhir 1439H, Khamis – Kerajaan Bangladesh menjadikan sebuah pulau berlumpur dan tidak berpenghuni di Teluk Bengal sebagai tempat perlindungan untuk 100,000 umat Islam Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar.

Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina berkata, penempatan baharu itu akan menjadi tempat transit sementara untuk mengurangkan kesesakan di kem pelarian Cox’s Bazar.

Buat masa ini, kem di Cox’s Bazar menjadi tempat perlindungan kepada hampir 700,000 etnik Rohingya yang menyeberang dari utara Rakhine, di Myanmar sejak akhir Ogos tahun lalu.

Bagaimanapun, salah seorang daripada penasihat Sheikh Hasina, HT Imam, memberitahu Reuters, pelarian hanya boleh meninggalkan pulau berkenaan jika mahu kembali ke Myanmar atau dipilih untuk mendapat suaka oleh negara lain.

“Kami tidak akan memberi mereka pasport atau kad pengenalan Bangladesh,” katanya sambil memberitahu bahawa pulau itu akan mempunyai kem polis dengan kekuatan antara 40 hingga 50 anggota bersenjata lengkap.

Katanya, ketika ini jurutera British dan China membantu menyiapkan pulau itu untuk menerima pelarian sebelum bermulanya hujan monsun pada April ini, yang boleh membawa banjir ke kem-kem pelarian di selatan.

Imam berkata, pemilihan warga Rohingya di Cox’s Bazar untuk berpindah ke pulau itu belum dimuktamadkan, tetapi ia boleh diputuskan secara undian atau sukarela.

Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian dalam satu kenyataan berkata, apa-apa pelan penempatan membabitkan pelarian perlu berasas dan dilaksanakan melalui keputusan secara sukarela dan dengan pengetahuan mereka. – Agensi

The post Bangladesh sediakan pulau untuk kem pelarian Rohingya appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian