Langkau ke kandungan utama

Bekas pekerja syarikat pengeluar kereta hadapi 311 pertuduhan

KLANG, 10 Jamadilakhir 1439H, Isnin – Seorang bekas pekerja syarikat pengeluar kereta dihadapkan di tiga Mahkamah Sesyen atas 311 pertuduhan mengakses sistem inventori komputer syarikat itu tanpa kebenaran sehingga mengakibatkan kerugian berjumlah lebih RM2 juta antara Ogos 2013 hingga akhir 2016.

Mohamad  Al-Faruq Mustapah, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan itu di hadapan Hakim Tasnim Abu Bakar, Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid dan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Mohamad Al-Faruq yang ketika itu bertugas sebagai pembantu bahagian alat ganti didakwa mengakses sistem ‘VSS Service Appointment’ milik syarikat pengeluar kereta itu untuk membuat temu janji servis kenderaan dengan niat mengakibatkan kerugian kepada syarikat berkenaan.   

Bapa kepada tiga anak itu, yang berasal dari Telok Panglima Garang, Selangor, dikatakan menyeleweng sistem inventori syarikat dengan menggunakan ID eksekutif pengurusnya untuk membuat temu janji palsu berkaitan pesanan pembelian minyak enjin dan alat ganti kenderaan.  

Namun, kira-kira 400 transaksi itu dibatalkan secara tidak sah walaupun ia sudah direkodkan ke dalam akaun syarikat dan barangan itu tidak dipulangkan semula sehingga mengakibatkan kerugian dianggarkan RM2.64 juta.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Pusat Servis syarikat pengeluar kereta itu di Kawasan Perindustrian Bukit Raja Selatan di sini antara 15 Ogos 2013 hingga Disember 2016.  

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, denda maksimum 150,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dalam prosiding di tiga mahkamah hari ini, peguam Mohd Shukri Ahmad Mansor yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan yang munasabah kerana anak guamnya memberikan kerjasama penuh kepada polis sepanjang proses siasatan bermula November tahun lepas.

Beliau berkata harta alih anak guamnya juga telah disita mengikut AMLA (Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001).    

“Anak guam saya juga menghadapi masalah kewangan dan hanya berpendapatan RM1,300 sebulan dengan berniaga barangan secara kecilan dari rumah ke rumah,” katanya.     

Mahkamah kemudian membenarkan kos jaminan keseluruhan berjumlah RM130,000 dengan penjamin berbeza selain diarah melapor diri di balai polis berdekatan setiap bulan.       

Sebutan semula semua kes ditetapkan pada 5 April depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Fatimah Yahya, Mahmoodah Abdul Latiff dan S Nithtia. – Bernama

 
 

The post Bekas pekerja syarikat pengeluar kereta hadapi 311 pertuduhan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian