Jangan letak kenderaan di bahu jalan di Cameron Highlands

IPOH, 29 Jamadilawal 1439H, Khamis – Polis meminta kerjasama semua pengguna jalan raya supaya tidak meletakkan kenderaan di kawasan larangan terutama di bahu jalan di Cameron Highlands bagi mengelak kesesakan teruk sempena Tahun Baharu Cina, pada Jumaat dan Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Hasadid A Hamid berkata, ia berikutan pusat peranginan itu dijangka mengalami peningkatan berganda kenderaan yang mengakibatkan jalan padat dan sesak di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, lokasi dijangka mengalami kesesakan adalah di sekitar kawasan Kea Farm, pekan Brinchang dan pekan Tanah Rata yang merupakan kawasan tumpuan pelancong serta berhampiran jalan utama.

“Penunggang atau pemandu dinasihatkan sentiasa berhemah dan berwaspada, memerhatikan dengan cermat pengguna jalan raya lain serta tidak menjadi punca berlakunya kesesakan dan mengelak kemungkinan terlibat kemalangan.

“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan mematuhi had laju yang dibenarkan dan tidak memotong barisan. Polis akan menjalankan penguatkuasaan sepenuhnya dan toleransi sifar atas kesalahan ini,” katanya dalam kenyataan.

Hasadid berkata, bagi penunggang motosikal yang berkonvoi perlu mengikut undang-undang dan tiada perkhidmatan ‘marshall’ dibenarkan bagi tujuan iringan atau menahan kereta.

Beliau juga meminta pengunjung yang pertama kali ke Cameron Highlands supaya peka dengan papan isyarat lalu lintas di sekitar Pekan Brinchang.

“Laluan berkenaan dijadikan laluan sehala bagi melancarkan lagi pergerakan kenderaan.

“Pelancong mahupun orang tempatan diminta mematuhi laluan sehala berkenaan dan tidak memandu atau menunggang melawan arus untuk mengelak risiko berlaku kemalangan,” katanya. – Bernama

The post Jangan letak kenderaan di bahu jalan di Cameron Highlands appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian