Kehadiran diplomat Israel undangan PBB: Anifah Aman

KUALA LUMPUR, 29 Jamadilawal 1439H, Khamis – Penyertaan Israel pada Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) di sini baru-baru ini, adalah atas undangan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) melalui agensinya , Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UN-Habitat), penganjur forum itu.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, berbeza dengan surat undangan lain, surat undangan kepada Israel tidak ditandatangani mana-mana pegawai Malaysia.

Katanya, surat undangan kepada Israel, yang ditandatangani Pengarah Eksekutif UN-Habitat, adalah sejajar dengan Perjanjian Negara Tuan Rumah yang ditandatangani antara agensi itu dengan Malaysia.

Perkara III perjanjian itu, antara lain menyebut, penyertaan dalam forum tersebut terbuka kepada semua negara anggota PBB dan semua agensi khusus badan dunia itu, kata beliau dalam kenyataan di sini.

Anifah berkata, menandatangani Perjanjian Negara Tuan Rumah merupakan syarat yang ditetapkan bagi sesuatu persidangan PBB yang diadakan bukan di ibu pejabat badan dunia itu.

Sambil menegaskan pendirian Malaysia terhadap Israel tidak berubah, Anifah berkata isu Malaysia menjalin hubungan dengan Israel secara diam-diam melalui penganjuran forum itu, tidak timbul sama sekali.

“Membuat tanggapan sebaliknya merupakan suatu perbuatan yang berniat jahat dan berbahaya,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia tidak pernah menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Anifah berkata, terdapat percubaan oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab untuk meraih keuntungan politik daripada penyertaan Israel dalam WUF9.

Menurut beliau, WUF9 diakui secara meluas telah mencapai kejayaan cemerlang dan melonjakkan profil Malaysia serta terserlah pencapaiannya dari segi memperjuangkan, mengartikulasikan dan melaksanakan Agenda Baharu Bandar (NUA).

“Ia (WUF9) menarik kehadiran lebih 25,000 peserta, dengan 69 negara diwakili di peringkat menteri. Semua rakyat Malaysia perlu berbangga dengan kejayaan negara kita menjadi tuan rumah forum penting dan berprestij itu,” katanya.

WUF9 diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 7 hingga 13 Februari lalu. – Bernama

The post Kehadiran diplomat Israel undangan PBB: Anifah Aman appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian