KKM sahkan kematian bayi di Johor akibat sesak nafas

 

 

KUALA LUMPUR, 27 Jamadilawal 1439H, Selasa – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian seorang bayi baru lahir di Johor Bahru pada 4 Feb lepas adalah akibat sesak nafas (asphyxia) setelah kepala bayi tersangkut di perineum ibu semasa melalui kelahiran songsang di rumah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kelahiran bayi tersebut disambut individu yang bukan merupakan anggota kesihatan dan tidak bertauliah untuk mengendalikan kelahiran bayi.

“KKM mempunyai bukti dan saksi bagi kes ini dan Hospital Sultan Ismail turut mengemukakan laporan kepada polis. Setakat ini masih belum ada kakitangan KKM yang dipanggil oleh polis untuk memberi keterangan.

“KKM memandang serius dan amat kesal dengan kejadian kematian bayi ini kerana ia merupakan kes yang boleh dielakkan. KKM ingin melahirkan rasa dukacita atas pemergian bayi ini serta ucapan takziah kepada ibu bapa dan keluarga bayi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes kematian bayi ketika dilahirkan itu tular menerusi media sosial baru-baru ini yang dikaitkan dengan komplikasi ketika kelahiran di rumah di bawah pengawasan doula (pembantu ketika melahirkan).

Menurut Dr Noor Hisham, KKM telah memperkenalkan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kelahiran selamat seperti perbincangan dengan kumpulan ‘gentle birthing’ bagi memahami isu yang ingin diketengahkan dan memberi penekanan tentang kepentingan kelahiran selamat.

Katanya, kerajaan telah menyediakan perkhidmatan kesihatan komprehensif bagi ibu mengandung (antenatal) di 2,863 klinik kesihatan atau klinik desa di seluruh negara serta 133 hospital KKM yang memberikan perkhidmatan bersalin termasuk empat buah hospital yang mempunyai blok Wanita dan Kanak-kanak tersendiri, sebuah Hospital Wanita dan Kanak-kanak dan tiga Pusat Bersalin Risiko Rendah.

Beliau berkata, rawatan selepas bersalin juga ditawarkan oleh Klinik Kesihatan dengan menyediakan lawatan ke rumah yang dilakukan oleh jururawat sekaligus melengkapkan skop perkhidmatan ibu mengandung, ibu bersalin, ibu berpantang serta bayi yang baru lahir.

“Bagi kes berisiko rendah yang memilih untuk bersalin di rumah, semua pihak terlibat diarah untuk mengendalikan ibu mengikut garis panduan Pengurusan Ibu Hamil Yang Memilih Untuk Bersalin Di Rumah dan garis panduan Senarai Semak Mengikut Sistem Kod Warna Penjagaan Kesihatan Ibu dan Bayi, KKM.

“Kehadiran anggota kesihatan yang terlatih diperlukan untuk kelahiran di rumah (termasuk untuk kes risiko rendah) supaya anggota kesihatan tersebut dapat segera bertindak memberi bantuan kecemasan jika terdapat sebarang komplikasi yang mungkin timbul terhadap bayi dan ibu semasa atau selepas kelahiran,” kata Dr Noor Hisham.

Katanya, sepanjang tahun lepas di Johor, terdapat 58 kes yang didaftar sebagai kelahiran tidak selamat di mana lima daripada bilangan kelahiran tidak selamat tersebut merupakan kejadian kelahiran di rumah yang berkaitan dengan doula.

KKM turut menasihatkan masyarakat termasuk anggota kesihatan yang mempunyai bukti penglibatan mana-mana individu mengendalikan kelahiran tanpa tauliah tampil membuat laporan polis serta memaklumkan kepada KKM agar siasatan dapat dijalankan dan tindakan dapat diambil terhadap individu tersebut sekiranya disabitkan kesalahan. – Bernama

 

The post KKM sahkan kematian bayi di Johor akibat sesak nafas appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?