Klinik pasang pendakap gigi haram diserbu, 2 wanita ditahan

KUALA TERENGGANU, 5 Jamadilakhir 1439H, Rabu – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) melumpuhkan kegiatan tiga wanita menawarkan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi secara haram di sebuah rumah tumpangan di Kampung Losong di sini, hari ini.

Dalam serbuan jam 3.30 petang yang diketuai oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Mohammad Omar, dua wanita berusia dalam lingkungan 20-an ditahan, manakala seorang lagi wanita, dipercayai ketua kumpulan, melarikan diri.

Dr Mohammad berkata, ketika serbuan itu, seramai 16 pelanggan berusia 16 hingga 20-an sedang menunggu giliran untuk memasang pendakap gigi, manakala seorang lagi sedang menjalani prosedur pemasangan.

Beliau berkata, sebelum ini pihaknya telah mengintip pergerakkan tiga wanita berasal dari Kuala Lumpur itu dalam tempoh masa tertentu dan serbuan telah dilakukan di daerah Kemaman tetapi mereka berjaya melarikan diri.

“Kita sentiasa mengikuti kegiatan mereka dan kali ini kita berjaya menangkap dua daripada mereka. Mereka ini didapati menawarkan perkhidmatan dengan bergerak dari satu lokasi ke lokasi lain dan melakukan promosi melalui media sosial seperti Facebook, aplikasi WhatsApp dan Wechat,” katanya kepada media selepas serbuan itu.

Katanya, mereka sentiasa menukar lokasi dan masa temu janji dengan pelanggan bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan boleh dikenakan hukuman di bawah Seksyen 4 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau enam tahun penjara atau kedua-duanya.

Sementara itu, seorang pelanggan yang hanya dikenali sebagai Mira ,21, berkata beliau berminat memakai pendakap gigi kerana kos yang ditawarkan lebih rendah berbanding harga di klinik swasta.

“Saya tahu mengenai perkhidmatan ini melalui sepupu saya yang turut menggunakan perkhidmatan yang sama dan saya tidak mengetahui bahawa sebenarnya mereka menjalankan perkhidmatan ini secara haram,” katanya.

Ibu kepada seorang lagi mangsa, Hasmah Ali, 45, dari Bukit Payung, berkata beliau tidak menyangka kegiatan itu bergerak secara haram kerana sebelum ini beliau dimaklumkan perkhidmatan itu sudah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.

Katanya, beliau hanya membuat pembayaran pendahuluan sebanyak RM550 manakala RM80 untuk kos rawatan susulan. – Bernama

The post Klinik pasang pendakap gigi haram diserbu, 2 wanita ditahan appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian