Lelaki bunuh teman wanita, bawa mayat ke balai polis

PETALING JAYA, 19 Jamadilawal 1439H, Isnin – Anggota yang bertugas di balai polis Damansara benar-benar terkejut apabila seorang lelaki membawa bersama mayat teman wanitanya dalam kereta yang dipandunya ke balai polis itu lalu menyerah diri.

Lelaki itu mendakwa dia telah membunuh teman wanitanya di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah di Kota Damansara sebelumnya.

Suspek berusia 37 tahun kelihatan tenang apabila dia mengaku telah menikam mangsa berusia 35 tahun sebelum membawa mayatnya dalam kereta Honda City ke balai polis tersebut.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din memberitahu pemberita, bahawa suspek menyerah diri kira-kira jam 1.30 tengah hari tadi.

“Dia yang datang dengan berpakaian lengkap dan dalam keadaan biasa sahaja dipercayai menikam mangsa dalam kereta.

“Siasatan awal mendapati mangsa ditikam pada leher menggunakan senjata tajam yang turut ditemui dalam kereta milik mangsa dengan kesan darah,” katanya.

Menurut Mohd Zani, pasangan kekasih itu bekerja di kondominium yang sama di Kota Damansara dan telah berkenalan selama lebih kurang dua tahun.

“Motif pembunuhan masih dalam siasatan dan kami akan memberikan identiti mangsa setelah keluarganya dimaklumkan mengenai kematian mangsa,” katanya.

Beliau berkata mayat wanita itu akan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk dibedah siasat.

“Permohonan reman ke atas suspek akan dibuat esok,” katanya. – Bernama

The post Lelaki bunuh teman wanita, bawa mayat ke balai polis appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?