Malaysia, ASEAN mesti desak Myanmar benar pasukan penyiasat bebas masuk Rakhine

PUTRAJAYA, 16 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Presiden Burmese Rohingya Organisation United Kingdom (BROUK), Tun Khin menggesa Malaysia terus bersuara menentang penindasan ke atas etnik Rohingya di Myanmar dan menyalurkan bantuan kemanusiaan untuk pelarian Rohingya di Bangladesh.

Beliau berkata, Malaysia dan negara-negara ASEAN juga perlu mendesak Myanmar supaya membenarkan pasukan penyiasat bebas antarabangsa memasuki wilayah Rakhine dan meninjau nasib etnik Rohingya di sana.

“Sejak krisis kemanusiaan bermula di wilayah itu tahun lepas, tidak ada media antarabangsa atau misi kemanusiaan antarabangsa dibenarkan oleh pihak berkuasa Myanmar memasuki Rakhine. Tiada pihak yang berpeluang melihat sendiri situasi terkini,” kata beliau pada sidang media di Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) di sini hari ini.

Khin berada di Malaysia untuk mengadakan pertemuan dengan 12 peguam Malaysia awal minggu ini berhubung rancangan untuk mengemukakan aduan terhadap Myanmar kepada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

“Malaysia harus memainkan peranan aktif bersama beberapa badan antarabangsa dalam mempertahankan hak-hak Rohingya,” kata beliau.

Khin berkata, beliau menghargai usaha Malaysia mendirikan hospital medan di khemah pelarian di Cox Bazar, Bangladesh pada November tahun lepas bagi membantu pelarian Rohingya.

Malaysia telah banyak berusaha untuk membantu masyarakat Rohingya, kata beliau.

Krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine di Myanmar bertambah meruncing sejak Ogos tahun lepas apabila ramai pelarian Rohingya memasuki Bangladesh setiap hari, menyebabkan banyak khemah pelarian didirikan.

Setakat ini, jumlah sebenar pelarian Rohingya tidak dapat disahkan tetapi ramai yang mendakwa terdapat lebih satu juta pelarian Rohingya di sana.
– Bernama

The post Malaysia, ASEAN mesti desak Myanmar benar pasukan penyiasat bebas masuk Rakhine appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian