Mangsa keenam rabies dibenarkan pulang

KUCHING, 15 Jamadilawal 1439H, Khamis – Mangsa keenam wabak rabies atau anjing gila yang dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini sejak Ogos tahun lalu telah dibenarkan pulang semalam, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Namun kata beliau, kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dari Kampung Kuala, di Serian itu masih terlantar sakit.

“Mangsa masih terlantar sakit dalam keadaan tidak bergerak serta memerlukan bantuan orang lain dalam pengurusan diri, tidak dapat bernafas dengan sempurna dan terpaksa bergantung kepada sokongan bantuan pernafasan dalam jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Lembaga Pelawat Hospital dan Panel Penasihat Klinik Kesihatan Sarawak (Zon Selatan) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Azman Abu Bakar dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Dr Jamilah Hashim.

Dr Hilmi berkata, setakat semalam, jumlah kes rabies manusia di negeri ini kekal tujuh dengan lima kes telah meninggal dunia, seorang dibenarkan pulang manakala mangsa ketujuh seorang lelaki berusia 59 tahun masih menerima rawatan di HUS.

Sementara itu, Dr Jamilah berkata, klinik swasta yang merawat mangsa ketujuh namun gagal memaklumkan kes tersebut kepada hospital kerajaan dan JKNS telah diberikan surat amaran.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengeluarkan surat garis panduan pengurusan kes gigitan sejak September lalu malah turut mengadakan sesi taklimat bersama doktor-doktor swasta.

“Berdasarkan siasatan JKNS mangsa mendapatkan rawatan di klinik tersebut November tahun lalu tetapi tidak dirujuk ke fasiliti kesihatan kerajaan untuk vaksinasi.

“Selepas menerima rawatan gigitan itu sembuh namun pada bulan lepas lelaki berkenaan mula tunjukkan simpton dan mendapatkan rawatan di hospital swasta sebelum dirujuk ke HUS,” katanya.- Bernama

The post Mangsa keenam rabies dibenarkan pulang appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian