Myanmar tak benarkan Majlis Keselamatan PBB lawat negara bulan ini
NEW YORK, 16 Jamadilawal 1439H, Jumaat – Myanmar tidak membenarkan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) melawat ke negara itu bulan ini, kerana mendakwa masa yang tidak sesuai.
Duta Besar Kuwait di PBB, Mansour Ayyad Al-Otaibi berkata, Myanmar tidak menolak lawatan tersebut, sebaliknya minta ia ditangguhkan atas alasan keadaan di Rakhine masih tegang.
“Lawatan ini tidak akan berlaku pada bulan Februari. Anggota majlis mungkin mengadakan lawatan tersebut pada bulan Mac atau April.
“Mereka (Myanmar) tidak menolaknya, mereka hanya fikir ia bukan masa sesuai untuk mengadakan lawatan itu. Mereka juga sedang mengatur lawatan diplomatik ke Rakhine.
“Malah, mereka juga menyatakan keadaan ketegangan di Rakhine ketika ini, antara sebab lawatan itu tidak boleh diadakan,” katanya.
November lalu, 15 anggota UNSC mendesak kerajaan Myanmar menghentikan penggunaan kuasa tentera di Rakhine, termasuk menyatakan kebimbangan terhadap laporan pelanggaran hak asasi manusia ke atas etnik minoriti Islam Rohingya di wilayah itu.
Setakat ini, lebih setengah juta Rohingya melarikan diri ke sempadan Bangladesh dalam kempen ketenteraan secara meluas sejak Ogos tahun lalu.- Agensi
The post Myanmar tak benarkan Majlis Keselamatan PBB lawat negara bulan ini appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan