Naikkan pendapatan, barulah rakyat mampu beli rumah

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 1 Jamadilakhir 1439H, Sabtu – “Perut rakyat yang lapar, boleh membahayakan pemimpin UMNO yang sedang kenyang dan mewah, khususnya menjelang PRU ke-14 nanti.”

Demikian peringatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS, Dr Riduan Mohamad Nor, ketika mengulas ketidakseimbangan pendapatan rakyat berikutan krisis kewangan sehingga gagal memiliki rumah.

Melihat kepada situasi semasa, pendapatan rakyat yang statik atau naik sedikit amat tidak berpadanan, lebih-lebih lagi semua harga barangan meningkat begitu drastik dan ketara, katanya.

Justeru, katanya, dalam isu pembelian rumah, cadangan Bank Negara Malaysia agar pendapatan rakyat dinaikkan sesuai dengan harga rumah amat tepat dan wajar dipertimbangkan.

“Tidakpun, letaklah harga rumah mampu milik sesuai dengan kadar pendapatan rakyat supaya mereka tidak akan terus tertekan dan rasa terbeban.

“Apa yang ditimbulkan ini bukan untuk mencetuskan suasana cemas dan panik, tetapi sekadar membangkitkan realiti semasa dan usah menafikan keadaan ini. Jika tidak ditangani, ia boleh membangkitkan kemarahan dan kebangkitan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan data menunjukkan rumah di negara ini tidak mampu dibeli pada 2016 kerana penawaran dan permintaan yang tidak sepadan, serta pertumbuhan pendapatan yang lebih perlahan.

BNM menganggarkan harga rumah mampu milik di negara ini ialah pada maksimum RM282,000 berdasarkan pendekatan beban kos perumahan, namun median harga rumah sebenar ialah RM313,000 (pada 2016), jauh melepasi kemampuan kebanyakan isi rumah, dengan pendapatan median isi rumah kebangsaan hanya RM5,228.00.

Riduan berkata, data yang dikemukakan cukup untuk menjelaskan bahawa harga rumah yang tersedia tidak sepadan dengan pendapatan isi rumah, sekali gus menyebabkan orang ramai tidak mampu untuk membelinya.

Lebih malang lagi katanya, rakyat pula terpaksa menanggung beban kos hidup yang semakin meningkat, cukai barangan dan perkhidmatan (GST), harga barangan yang naik setiap masa.

“Mereka terpaksa berjimat cermat, mengikat perut, dan hanya membeli barangan keperluan sahaja. Soal membeli rumah adalah perkara sampingan yang akan dilakukan oleh golongan berkemampuan sahaja,” katanya.

The post Naikkan pendapatan, barulah rakyat mampu beli rumah appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?