PAS gesa tolak DAP anti-Islam, parti gugat keharmonian negara

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 9 Jamadilakhir 1439H, Ahad – Menjelang Pilihan Raya Ke-14, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sekali lagi mengesa rakyat khususnya masyarakat bukan Islam menolak parti yang menggugat keharmonian dan perpaduan negara.

Tidak mahu peristiwa hitam 13 Mei 1969 berulang lagi, beliau berkata, ketegangan yang mencetuskan insiden berkenaan apabila wujudnya parti yang berlumba menjadi juara fanatik perkauman.

Dipercayai merujuk parti rasis dan cauvinis DAP, Abdul Hadi berkata, usaha dan cara lama yang sudah usang itu dilihat ingin diteruskan kembali hari ini.

“Mereka bertahan dengan pengundi bukan Islam tanpa menghormati sensitiviti umat Islam, cuba menghidupkan ketegangan agama dan kaum, namun tanpa berpegang kepada apa-apa agama, tetapi menjadikan Islam adalah sasarannya.

“Caranya tidak konsisten, sama ada ia beragama, berkaum atau tidak atau pragmatik oportunis.

“Tindakan parti itu paling lantang dan ke hadapan menentang PAS dalam segala usahanya bagi melaksanakan Islam, walaupun dalam perkara yang tidak ada kaitan dengan penganut bukan Islam,” katanya dalam satu kenyataan.

Abdul Hadi berkata, parti berkenaan juga berani mengisytiharkan Malaysia sebagai sebuah negara sekular, selain mencabar ajaran Islam yang sempurna dan penghalang terhadap usaha PAS memperjuangkan negara Islam secara demokrasi.

Cara itu katanya, jelas menunjukkan langkah lantang mereka menyekat perjalanan Islam sehingga ia melebihi daripada sebelum ini, apabila berani menyentuh Perlembagaan Persekutuan berkaitan Islam, Raja Berpelembagaan dan Hak Istimewa Bumiputera.

“Pendekatannya memperjuangkan konsep ‘Malaysian Malaysia’ ke arah melarutkan kaum dan bangsa serta bahasanya yang sudah menjadi tabii manusia.

“Cara politik parti itu boleh juga disebut sebagai konsep luar tabii yang mahu memaksa keadaan yang ada selama ini,” katanya.

Tidak hanya setakat itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, penentangan terbuka parti berkenaan terhadap Rang Undang-Undang Akta 355 (RUU355) juga langkah nyata tidak menghormati hak penganut Islam yang berpegang teguh dengan ajarannya.

Jelas beliau, parti itu tetap ingin menjadi juara memaksa kalangan bukan Islam supaya bersamanya, termasuk orang Islam yang sanggup menjadi topeng atau bersedia diperalatkan.

“Namun mereka tetap tidak mampu menyorokkan wajahnya yang sebenar. Topeng juga tidak kukuh dan boleh terkoyak dan dirobekkan bila-bila masa.

“Umat Islam tidak sepatutnya dipermainkan, sehingga sekadar dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa Islam adalah agama Persekutuan, tetapi penganutnya tidak berhak beramal dengan seluruh ajaran Islam, sedangkan penganut agama lain berhak beramal dengan agama mereka.

“Kedudukan konsep Raja Berperlembagaan yang dijadikan syiar Ketua Agama juga dipermain-mainkan,” katanya.

Abdul Hadi berkata, parti itu jugalah yang menyokong pesta arak, hiburan dan gaya hidup bebas diadakan di negara ini, meskipun ia ditentang semua agama yang menjaga moral manusia.

Malah beliau berkata, parti berkenaan juga menyatakan rasa tidak senang terhadap beberapa perkara membela Melayu dan Bumiputera yang dipinggirkan sejak zaman penjajah dan masih terkebelakang selepas kemerdekaan.

“Sikap tidak senang ini juga boleh menghilangkan keharmonian masyarakat majmuk. Rakyat bukan Islam hendaklah menolak parti itu demi keselamatan semua.

“Adapun umat Islam diharamkan dengan sekeras-kerasnya sama ada menjadi ahli, penyokongnya atau alatnya, termasuk menjadikannya rakan setia untuk perjuangan partinya, sehingga Allah memberi amaran yang keras dan menjadikannya sebahagian daripada sifat munafik,” katanya.

The post PAS gesa tolak DAP anti-Islam, parti gugat keharmonian negara appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian