Syair Siti Zubaidah diangkat ke bentuk monodrama
KUALA LUMPUR, 18 Jamadilawal 1439H, Ahad– Setelah diadaptasi ke dalam bentuk filem, opera dan teater, karya klasik manuskrip Melayu lama dari abad ke-19, Syair Siti Zubaidah kini dipersembahkan pula dalam bentuk monodrama.
‘Siti Zubaidah Sebuah Monodrama’ yang dipentaskan di Galeri Petronas semalam dan hari ini adalah hasil tulisan dan arahan pensyarah yang juga Ketua Jabatan Drama Universiti Malaya Dr Marlenny Deenerwan.
Monodrama adalah sebuah pementasan yang membabitkan hanya seorang pelakon membawakan pelbagai watak dalam sesuatu karya.
Syair Siti Zubaidah adalah kisah pengembaraan seorang wanita yang menempuh pelbagai cabaran untuk membebaskan suaminya Sultan Zainal Abidin, yang ditawan puteri dari China.
Marlenny mengakui bukan mudah untuk mengadaptasi karya terkenal dalam bidang kesusasteraan Melayu ke dalam bentuk monodrama kerana banyak aspek perlu diteliti terutama dalam meringkaskan jalan cerita daripada sebuah syair yang mengandungi 3,736 rangkap.
Marlenny berkata, beliau terpaksa menghasilkan karya itu dalam tempoh kurang sebulan sebaik dihubungi Galeri Petronas pada hujung Disember lalu untuk mementaskan Syair Siti Zubaidah bersempena Pameran Alegori yang diadakan mulai 14 Nov lepas.
“Galeri Petronas menyedari keperluan untuk mementaskan syair ini setelah merasakan pengunjung mungkin sukar hendak memahami atau menghayati maksud manuskrip syair Siti Zubaidah yang dipamerkan sepanjang Pameran Alegori,” katanya.
Beliau berkata, cabaran untuk mencari pelakon yang boleh menghayati watak Siti Zubaidah adalah berat kerana ia memerlukan seseorang yang mahir bersyair, menyanyi dan bersilat, beberapa pelakon professional yang dimahukan pula sibuk dengan pementasan lain.
Akhirnya walaupun gusar kerana watak Siti Zubaidah memerlukan pelakon berpengalaman, beliau percaya dan memberi kepercayaan kepada bekas pelajarnya Bahiyah Aminuddin untuk menjadi teraju utama pementasan itu.
“Latihan hanya dijalankan dua minggu, sedangkan sesebuah pementasan itu seelok-eloknya memerlukan persediaan sekurang-kurangnya sebulan sebelum dipentaskan,” katanya yang menjadikan artikel dan filem klasik Siti Zubaidah lakonan Datuk Maria Menado dan Nordin Ahmad sebagai sumber rujukannya.
Marlenny yang berpengalaman 20 tahun dalam bidang seni persembahan teater amat berpuas hati dengan pementasan monodrama itu dan kagum dengan kebolehan Bahiyah menjiwai watak Siti Zubaidah dengan amat berkesan.
Pameran Alegori yang berakhir hari ini merupakan pameran ekpresi seni kontemporari berasaskan manuskrip Melayu. – Bernama
The post Syair Siti Zubaidah diangkat ke bentuk monodrama appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan