UM duduki senarai ke-46 terbaik di Asia
KUALA LUMPUR, 22 Jamadilawal 1439H, Khamis – Universiti Malaya (UM) berjaya memasuki senarai 50 teratas dalam Asia University Rankings 2018 yang dikeluarkan Times Higher Education (THE).
Berdasarkan senarai universiti Asia ‘top 350+’ yang diterbitkan semalam, UM melonjak ke tangga ke-46 tahun ini berbanding ke-59 tahun lalu.
Manakala Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) berada di tempat ke-99 di antara 359 universiti seluruh Asia.
Universiti Teknologi Petronas, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) juga berada di dalam senarai berkenaan.
Naib Canselor UM, Datuk Ir Abdul Rahim Hashim berkata, sistem penarafan itu merupakan penanda aras bagi setiap institusi pengajian tinggi mengukur kedudukan dan status semasa universiti.
“UM telah menambah baik usaha dan amat penting untuk UM terus meningkatkan kebolehpasaran siswazah, rangkaian dan kerjasama dengan industri dan perkongsian strategik antarabangsa,” katanya.
Beliau melahirkan harapan agar Kementerian Pengajian Tinggi akan terus menyokong UM dalam meningkatkan kedudukannya pada masa akan datang.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, prestasi UM membuktikan bahawa universiti tertua di negara ini berada di landasan yang tepat apabila menyertai 100 universiti terkemuka di dunia.
“Dengan adanya universiti-universiti negara dalam senarai, ia menunjukkan bahawa kita serius mengenai penanda aras di peringkat antarabangsa,” katanya.
The post UM duduki senarai ke-46 terbaik di Asia appeared first on Portal Islam dan Melayu | ISMAWeb.
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan