Fenomena Panama Dance: Kecelaruan dan Lemah Jati Diri

 

Runsing, malu, pelik dan keliru apabila melihat fenomena tarian ini semakin menular di media massa

Seolah-olah menjadi satu perlumbaan di pejabat-pejabat kerajaan mahu pun swasta dengan mempamerkan tarian “Panama Dance” ini kemudian ditularkan di media massa.

Tarian ditayangkan secara terbuka. Malah percampuran lelaki dan wanita dilakukan dengan bebas seolah-olah tiada lagi adab dan sifat malu serta kesopanan Melayu yang selama ini telah sebati dengan masyarakat kita. Apatah lagi, jika kita mahu membahaskannya dari sudut agama, yang sudah tentu menambahkan lagi kontroversi.

Budaya menari di khalayak ramai ini melambangkan rendahnya cara fikir dan jati diri masyarakat kita. Begitu mudah terpengaruh dengan budaya luar sedangkan budaya dan ajaran agama disisih tanpa difikir.

Alasan apakah yang cuba diberikan oleh mereka?

1. Budaya ini sebagai satu bentuk senaman?

Lakukanlah aktiviti yang kononnya dikatakan “senaman” ini di tempat yang tertutup tanpa menimbulkan fitnah.

Itu lebih baik berbanding menayangkan lenggok tubuh seorang wanita di khalayak ramai.

2. Untuk meningkatkan kerjasama dan ukhuwwah berpasukan?

Banyak lagi program yang boleh disusun andai alasan ini dijadikan hujah.

Tidak terfikirkah oleh pihak pengurusan hingga terpaksa membiarkan maruah pekerja wanitanya semata-mata kerana sebuah tarian yang entah dari mana asal usulnya?

3. Untuk meningkatkan imej organisasi?

Sebenarnya anda sedang mencemarkan imej organisasi yang sebelum ini dipandang hebat.

Lakukan aktiviti amal kebajikan, kemudian tularkan.  Itu kelihatan lebih mulia.

Organisasi anda bukan sahaja membuat kebaikan bahkan anda juga sedang mempromosi dan mengajak orang lain untuk beramal bersama.

Pada pandangan saya tiada apa yang boleh dibanggakan dengan saling cabar mencabar menari “Panama Dance” di khalayak ramai.

Kepada saudara dan saudariku di luar sana, ingatlah bahawa kita sedang diperhatikan oleh remaja dan anak-anak kita.

Berilah contoh teladan yang baik untuk mereka jadikan landasan dalam memimpin negara kita pada dimasa hadapan.

Kecelaruan dalam memilih budaya yang baik tidak memerlukan kita untuk belajar setinggi gunung,  cukup sekadar lapisan iman yang tipis sebagai umpan untuk kita merenung.

Bukankah nabi s.a.w sudah berpesan:

“Di antara tanda kebaikan Islam seseorang adalah meninggalkan perkara-perkara yang tidak bermanfaat baginya.” (Riwayat At-Tirmidzi )

Tidak salah berfikir di luar kotak,  tetapi biarlah ia dilakukan dengan berlandaskan neraca syarak.

Mohammad Alif Bin Rahman

NYDP i-Guru Cawangan Melaka

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian