Undilah calon Muslim berwibawa

Kita perhatikan kebanyakan orang seakan-akan menganggap politik bukan urusan agama dan tidak tertakluk kepada hukum halal dan haram.

Pada saya seseorang yang ingin keluar mengundi perlu bertanya pendapat agama. Apakah kedudukannya dari sudut syariat?

Ulama mengkategorikan perbuatan mengundi sebagai memberi kesaksian bahawa calon yang diundi adalah orang yang layak, melengkapi ciri yang ditetapkan oleh syarak dan diredhai oleh Allah dan Rasulnya s.a.w.

Melantik pemimpin adalah menyerahkan amanah kepimpinan “al-wilayah” atau mandat kepada seseorang dalam membuat keputusan dan menguruskan kepentingan umum bagi pihak umat. Syariat menetapkan mereka hendaklah seorang yang amanah, berilmu, bertakwa, adil, bijak dan berkepakaran dalam kepimpinan.

Adil mengikut istilah syariat bukan dari sudut fungsi semata-mata yakni membuat timbangan yang adil tetapi lebih daripada itu. Sifat adil membawa maksud satu ciri yang mewakili bahagian daripada keperibadian atau personaliti.

Seseorang yang adil mengikut syariat ialah mereka yang tidak melakukan dosa besar dan tidak berterusan melakukan dosa kecil.

Tidak mungkin terlintas pada pemikiran seorang muslim yang faham syariat ada kemungkinan bahawa seorang kafir lebih layak untuk dipilih daripada seorang muslim.

Oleh sebab itu, ulama silam tidak membahaskan perkara itu dalam usul ilmu siasah syariyyah. Yang mereka bincang sekadar antara imam yang lebih afdhal (lebih warak) dengan yang kurang warak tetapi lebih pandai memimpin.

Cuma sebagaimana dalam bab-bab fekah yang lain ada hukum usul (pokok) dan ada hukum furu’ (cabang). Begitulah juga dalam masalah perlantikan pemimpin. Jadi persoalan perlantikan pemimpin di kalangan orang bukan Islam pada asalnya adalah tidak harus kecuali dalam kes-kes tertentu dengan syarat-syarat yang ditetapkan.

Perlu difahami juga ialah acuan agama dalam politik Islam. Kepimpinan dalam Islam adalah tugas agama. Oleh sebab itu, khalifah didefinisikan sebagai wakil kepada Nabi s.a.w dalam menegakkan agama dan menguruskan dunia dengan agama.

Wakil rakyat yang dipilih untuk memikul amanah hendaklah mengangkat kehendak umat dalam parlimen dan hendaklah juga memiliki ciri-ciri kelayakan seorang pemimpin di sisi Islam.

Oleh sebab itu, mereka haruslah amanah, adil, berpengetahuan Islam yang tinggi dan memiliki kemahiran politik yang sebaiknya bagi melayakkan ia memikul amanah perwakilan dan di kalangan mereka juga akan dilantik kepimpinan negara.

Para pemimpin itu bertanggujawab menjalankan tugas-tugas syariat (fardhu kifayah) bagi pihak umat Islam seperti menjaga kedaulatan, mempertahankan maruah umat, meninggikan syiar Islam, menjaga agama, melaksanakan hudud, membela orang yang tertindas, melaksanakan dakwah dan jihad, menyediakan pendidikan, peluang pekerjaan dan kemudahan-kemudahan awam yang lain.

Hari ini politik kita tidak mengikut acuan syariat. Syarat-syarat wakil rakyat, kaedah pemilihan pemimpin, pembahagian kawasan pilihanraya, agihan kerusi dan sebagainya sama ada dalam gabungan parti pemerintah mahupun pembangkang tidak mengambil kira pandangan syarak.

Umat Islam berdepan situasi yang tidak normal. Penyokong parti pemerintah akan mengundi calon-calon yang dikemukan oleh pihak parti tanpa mengambil kira ciri dan dan syarat yang ditetapkan oleh syariat Islam. Situasi ini juga berlaku dalam gabungan pembangkang.

Dalam keadaan inilah timbulnya persoalan siapakah calon yang hendak dipilih atau diundi. Oleh itu, ISMA mengambil pilihan yang paling hampir dengan kehendak syariat tanpa terikat dengan blok parti atau gabungan dengan mengangkat undi calon berwibawa.

Dengan cara ini seorang pengundi muslim dapat mengelakkan dari dosa memberi kesaksian palsu yang bersalahan dengan syarak.

Kita telah memberi ciri-ciri panduan kepada pengundi supaya memilih calon yang lebih hampir dengan kehendak (maqasid) syariat dalam pemilihan pemimpin kerana sudah pasti tiada yang siapa yang cirinya lengkap sepenuhnya.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?