KENYATAAN AKHBAR PRESIDEN ISMA SEMPENA KEPUTUSAN PILIHAN RAYA UMUM KE-14

KENYATAAN AKHBAR PRESIDEN ISMA USTAZ HAJI ABDULLAH ZAIK ABD RAHMAN SEMPENA KEPUTUSAN PILIHAN RAYA UMUM KE-14

 

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) menghormati dan menerima keputusan PRU14 yang telah dijalankan dalam ruang lingkup demokrasi berperlembagaan. ISMA ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan atas kejayaan dalam PRU kali ini.

ISMA juga mengucapkan tahniah atas kejayaan PAS mampu menawan semula Kelantan dan merampas Terengganu serta menambah penguasaan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah dan Pahang. Diharapkan PAS terus istiqamah dalam peranan mereka sebagai pengimbang politik Islam yang signifikan di negara kita.

Seterusnya, kami ingin menegaskan bahawa ISMA akan terus melaksanakan amar makruf nahi mungkar dan memainkan peranan serta tanggungjawab dalam mengangkat perjuangan survival Islam dan Melayu di Malaysia. Kami menuntut agar wakil rakyat Muslim dalam Pakatan Harapan membuktikan intima’ mereka kepada agama dan bangsa dengan bersama-sama mengangkat agenda Islam dan Melayu.

ISMA turut menzahirkan keprihatinan terhadap penguasaan majoriti wakil rakyat bukan Islam di beberapa buah negeri yang didominasi DAP seperti di Pulau Pinang, Johor, Negeri Sembilan dan Perak. ISMA berharap agar mereka menghormati Perlembagaan Persekutuan, tidak mendiskriminasi kaum dan tidak mementingkan hanya satu-satu bangsa sahaja. ISMA juga menuntut agar sebarang dasar, polisi dan keputusan yang dibuat oleh kerajaan yang baru ini akan mementingkan keadilan sosial dan keseimbangan ekonomi antara kaum di Malaysia.

UMNO perlu muhasabah, mengambil pengajaran dan insaf bahawa kekalahan mereka dalam PRU kali ini adalah disebabkan keangkuhan Dato’ Seri Najib sendiri dan kegagalan UMNO mengurus krisis kepimpinan dengan telus, jujur dan berperlembagaan. UMNO juga gagal mengambil kira kehendak rakyat secara tepat.

Akhir sekali, ISMA mengingatkan rakyat Malaysia bahawa tanggungjawab mereka bukan setakat mengundi sahaja, tetapi untuk memastikan agar kerajaan baharu menunaikan tanggungjawab dan melaksanakan janji-janji mereka dan mentadbir negara mengikut lunas undang-undang dan perlembagaan.

 

USTAZ HAJI ABDULLAH ZAIK BIN ABD RAHMAN (S.M.T)
Presiden
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)

11 MEI 2018


Versi PDF

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian