Kekalkan Semangat Pengorbanan

Oleh Ustaz Shahier Sa’min

SHAH ALAM, 25 Ogos – “Ruh tadhiyyah”, atau semangat pengorbanan, yang ditunjukkan Nabi Ibrahim a.s dalam lipatan sejarah menjadi tauladan buat seluruh umat Islam hari ini.

Sanggup berkorban adalah petanda cinta yang mendalam terhadap kecintaan seseorang, dan pada kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail – nilai ini mengajar kita untuk menzahirkan rasa cinta kepada Allah SWT yang Maha Agung. Dalam erti pengesaan kepada Allah, ibadah qurban adalah perkara yang sangat dituntut untuk melakukannya kerana banyak maslahat tersirat yang dapat dihayati di sebalik perintah Allah SWT tersebut.

TOLONG – MENOLONG ERAT UKHUWAH

Alangkah indah suasana masyarakat / komuniti yang meriah dengan sifat taawun (bekerjasama). Untuk menumbangkan seekor lembu pun kita takkan mampu pun untuk menyiapkannya segera dan dalam keadaan / keupayaan seorang diri. Inikan pula dalam urusan kehidupan yang lebih besar, apatah lagi dalam urusan menegakkan agama.

Pengagihan daging qurban kepada faqir miskin dan yang memerlukan juga memperkuat konsep bantu-membantu dalam komuniti. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

PEMBERSIHAN HARTA DAN JIWA

Islam mendidik umatnya agar sentiasa menyucikan jiwa dan harta. Ini akan mewujudkan ketenangan pada hati si pemberi dan juga si penerima. Maka mudah-mudahan akan berkuranglah gejala jenayah dalam komuniti setempat kesan penghayatan konsep korban.

KETAATAN TOTAL TIDAK BERBELAH BAHAGI

Manifestasi 2 kalimah syahadah jelas terlihat pada pengamalan ibadah qurban.

“Daging dan darah tidak akan sesekali sampai kepada Allah, akan tetapi yang sampai adalah ketaqwaan dari kamu…”
(Al-Hajj 22:37)

Berikutan itu, Biro Dakwah Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Shah Alam dengan kerjasama Surau Al Ikhlas Pangsapuri Tun Teja dan penduduk telah menganjurkan satu program qurban di Pangsapuri Tun Teja 1, Shah Alam bagi menghidupkan syiar ibadah penyembelihan. Sebanyak 3 ekor lembu telah berjaya ditumbangkan pada hari tersebut dan agihan daging kepada faqir miskin telah dijalankan.

Pelbagai aktiviti bersama anak-anak juga telah dijalankan sementara para ibu bapa menyiapkan juadah hasil qurban pada hari tersebut. Majlis berakhir dengan sedikit jamuan kepada para tetamu dan penduduk yang hadir.

Semoga kerjasama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?