Peranan ibu dalam membina ‘syurga’ di dalam rumah
Oleh: Siti Saleha Binti Sofian Suri
BANGI, 29 Sept – “Sebagai sekolah pertama untuk anak-anak, ibu perlu membina imej sebagai seorang yang cerdik pandai di hadapan anak-anak,” ulas Ustazah Ummu Khadijah M. Nasir, ahli Jawatankuasa Biro Keluarga dan Masyarakat, Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Hulu Langat dalam satu forum bertajuk ‘Ada Syurga di Rumah Kita’ di sini, pagi kelmarin.
Tambahnya lagi, ibu juga perlu mahir dalam berkomunikasi dengan anak-anak termasuklah mengelakkan penggunaan istilah ‘penat’ dengan anak-anak untuk memastikan tiada jurang perhubungan antara mereka.
“Bukan ibu sahaja yang penat, anak-anak yang balik bersekolah juga penat. Anak-anak kecil yang seharian bermain dan berlari ke sana ke mari juga penat,” katanya yang juga merupakan seorang guru Bahasa Arab di sebuah sekolah kebangsaan di sini.
Forum anjuran bersama Isma Hulu Langat dan penduduk Apartmen Bangi Idaman turut dibarisi seorang panel yang merupakan ibu kepada lima anak yang kesemuanya merupakan hafiz Al-Quran dan berkhidmat dalam bidang profesional seperti bidang perubatan dan lain-lain dengan menggunakan jenama ‘Profazz’ iaitu Puan Siti Nadzrah Sheh Omar.
Dalam berkongsi pengalaman membesarkan anak-anak yang berjaya, Puan Siti Nadzrah menyebut beliau mengamalkan masakan sendiri untuk pemakanan anak-anak yang mana penyediaan masakan tersebut akan dibacakan dengan doa-doa yang ma’thur seterusnya sentiasa menyuap makanan ke mulut mereka kecuali apabila mereka di sekolah.
Dalam membentuk ingatan surah-surah dari Al-Quran, beliau banyak menghafaz surah tersebut bersama anak-anak termasuklah ketika menghantar mereka ke sekolah.
“Bagi ibu-ibu yang menjadi suri rumah sepenuh masa apablla mendidik anak perlu berpegang bahawa mereka sebenarnya sedang membina aset negara dengan memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak.”
Forum ini dihadiri oleh hampir tiga puluh wanita dan kanak-kanak dengan rata-ratanya adalah penghuni apartmen tersebut adalah salah satu slot forum dalam Karnival Muslimah 1.0 yang diadakan di Dataran Sakinah, Apartmen Bangi Idaman.
Ulasan
Catat Ulasan