Isma Kuantan kerah ahli sertai Himpunan Tolak ICERD

Oleh Shuhaimi Shaedon

KUANTAN, 4 Dis. – Seluruh ahli Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Kuantan dikerah untuk menyertai himpunan menolak ratifikasi Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) yang akan diadakan pada 8 Disember ini bagi menyahut seruan Amir dan Presiden Isma kepada setiap ahli di seluruh negara.

Yang Dipertua Isma cawangan Kuantan, Dr. Mohamad Nor Sundari berkata, himpunan ini adalah tanda solidariti umat Melayu Islam yang bersepakat tanpa mengira latar belakang politik dalam mempertahankan kandungan yang sedia termaktub di dalam perlembagaan iaitu Islam sebagai Agama Persekutuan, Raja-raja, Bahasa Melayu serta hak Bangsa Melayu dan Bumiputera.

Beliau berkata, melalui perhimpunan ini juga secara langsung ia dapat merapatkan saf dan persaudaraan dikalangan pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam yang selama ini renggang disebabkan oeh perbezaan fahaman politik yang merugikan.

“Pada ketika inilah kita lihat slogan ‘Melayu Sepakat, Islam Berdaulat’ yang diperkenalkan oleh Isma suatu ketika dahulu menjadi kenyataan apabila kesatuan antara umat Melayu Islam semakin kukuh dalam mempertahankan maruah bangsa dan agama.

“Saya juga melihat ia merupakan satu titik tolak hubungan yang baik di antara badan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Isma bersama dengan NGO Islam lain termasuk Parti Islam Se Malaysia (PAS) dan UMNO seperti di Himpunan Tolak ICERD peringkat Negeri Pahang yang berlangsung di Masjid Negeri, Kuantan baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi wartawan berkenaan arahan kerahan terhadap seluruh ahli Isma bagi menyertai Himpunan Tolak ICERD yang akan berlangsung pada 8 Disember ini.

Dr Mohamad Nor mengharapkan supaya himpunan ini dapat memberi mesej yang jelas kepada pihak kerajaan supaya mereka bukan sahaja menangguh bahkan terus menolak cadangan untuk meratifikasi ICERD ini.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan kepada setiap ahli supaya berhati-hati dan berwaspada terhadap sebarang provokasi daripada pihak luar yang mahu mengganggu kelancaran himpunan ini.

Menurut beliau lagi, rombongan Isma Kuantan ke himpunan yang bertemakan pakaian berwarna putih ini juga akan diketuai oleh wakil Pemuda Isma Kuantan iaitu Dr Mohd Hanis Mohd Nor.

Pada ketika ini, himpunan yang telah bertukar format kepada himpunan kejayaan dan kesyukuran rakyat menolak ICERD ini tetap diteruskan oleh penganjur utama iaitu Gerakan Pembela Ummah (Ummah) dengan kerjasama NGO Islam dan parti politik yang lain.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian