Hampir 500 Pelajar Terima Suntikan Semangat Dalam KLS Johor 2019




Oleh : Muhammad Taqiuddeen Bariman

JOHOR BAHRU 13 Jan – Karnival Lepasan Sekolah (KLS) 2019 yang merupakan acara tahunan oleh Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan kerjasama Kelab Remaja Isma (KRIM) Johor Bahru mendapat sambutan hangat apabila menerima penyertaan hampir 500 pelajar dari sekolah-sekolah di sekitar daerah Johor Bahru.

Menurut pengarah program, En Muzhaffar Mohd Zaki program kali ini juga merupakan kerjasama dengan Pejabat Kadi daerah Johor Bahru dan mendapat tajaan daripada Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (IKLAS).

Turut berkongsi ilmu di slot pada KLS kali ini ialah En Muhammad Rizan Hassan, Pengarah TVET Youth Centre yang menyarankan para pelajar untuk memiliki kemahiran sokongan sebagai nilai tambah agar mereka mampu bersaing di alam pekerjaan yang semakin mencabar.

Beliau juga menyuntik semangat para pelajar yang pernah gagal sebelum ini untuk tetap yakin dengan keupayaan diri sendiri dan menggunakan peluang kedua dengan bijak.

Slot pada sebelah petang pula menampilkan dua orang panelis iaitu Ustaz Adnin Roslan, pengasas Tarbiah Sentap dan Dr. Madihah binti Rushaidi, Pensyarah Kanan Neurosains dan Anatomi Newcastle Medicine Malaysia University, bersama Ustaz Hanafi sebagai moderator yang mengupas isu – isu berkaitan tips ‘survival’ di alam institusi pengajian tinggi.

Kemuncak KLS adalah pameran kerjaya yang padat menampilkan info berkaitan kursus-kursus yang ditawarkan di Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta terutamanya berkaitan Sains Kesihatan, Pendidikan, Kejuruteraan, Perakaunan, Usahawan dan Sains Makanan serta Perundangan dan Syariah.

KLS kali ini yang diadakan di Pusat Islam Iskandar Johor Bahru turut dimeriahkan dengan kehadiran artis nasyid jemputan iaitu kumpulan Rabithah serta acara cabutan bertuah.

Upacara penutup disempurnakan dengan ucapan Penasihat Pembina Johor, Tuan Hj Tahir Bin Hamdan serta Tuan Hj Dzulkafli Bin Mohamad, Kadi Daerah Johor Bahru.

“Kegemilangan sesebuah negara di masa akan datang bergantung kepada remaja masa kini dan merupakan tugas semua pihak untuk mengekalkan jati diri yang ada pada generasi remaja kini”, demikian ujar Tuan Hj Tahir menutup tirai KLS 2019.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian