Malaysia Adalah Negara Islam Tanpa Ragu!

oleh Norlia binti Salleh

Kota Samarahan, 2 Feb – “Kita perlulah yakin dan percaya tanpa ragu bahawasanya Malaysia ini adalah negara Islam!” Demikian kata Ustaz Bilal bin Jailani, ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS), dalam ceramahnya yang bertajuk Malaysia Negara Islam yang telah diadakan di Masjid Taman Desa Ilmu semalam.

Menurutnya, terdapat tiga jenis negara iaitu negara Islam, negara Kafir dan negara Sunn yakni negara yang masih dalam perjanjian. Antara ciri negara Islam berdasarkan Imam Syafie adalah antaranya, kawasan yang didiami oleh Muslim walaupun ada bukan Islam yang mendiami kawasan tersebut, tempat yang dibebaskan oleh orang Islam dan diakui oleh orang bukan Islam, dan terakhir sekali adalah kawasan bukan Islam yang dilindungi oleh Islam dan terus ditawarkan penjagaan kepada mereka.

Berdasarkan ciri yang telah disebutkan, tidak ragu lagi Malaysia adalah negara Islam. Jika diteliti dari sudut undang-undang serta budaya masyarakat Malaysia, di setiap sudut menggambarkan bahawa Malaysia adalah negara Islam secara zahirnya.

Ketika ditanya, mengapakah hukum dan syariat Islam masih belum dilaksanakan dengan baik walaupun ramai pemimpin di Malaysia adalah Islam?

Beliau menjawab, hal ini disebabkan sikap sesetengah pemimpin Islam yang masih menjaga kepentingan undi dari pengundi bukan Islam, lebih daripada menjaga kepentingan orang Islam itu sendiri. Namun, masih terdapat pemimpin Islam yang masih bertegas untuk menyokong pemerkasaan undang-undang Islam di Malaysia. Walaupun begitu, tidak terlaksana sepenuhnya undang-undang Islam tidak sesekali menafikan Malaysia adalah sebuah negara Islam.

Justeru, sebagai seorang Muslim yang faham dan mahukan syariat Islam dilaksanakan di Malaysia, kita bertanggungjawab untuk menyokong tanpa berbelah bahagi pemimpin Muslim yang membawa agenda dan kepentingan umat Islam.

Di akhir ceramahnya, Ustaz Bilal bin Jailani turut mengajak semua yang hadir untuk sama-sama menandatangan petisyen Malaysia Negara Islam yang telah bermula pada Disember 2018 yang lalu dan mensasarkan pungutan satu juta tandatangan dari masyarakat umum.

Turut hadir pada ceramah tersebut adalah saudara Rasheedan bin Ellin, Ketua Biro Dakwah ISMA Samarahan dan Nur Azlan bin Yusuf, Setiausaha ISMA Samarahan.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian