Berhenti mencedok budaya fahaman humanisme Barat
Sejak akhir-akhir ini semakin menjadi-jadi budaya “bachelorette party” dikalangan wanita muslimah yang dilihat seakan-akan berlumba-lumba untuk menunjukkan siapa yang paling tidak malu. Daripada parti yang memperagakan pakaian yang seksi kepada parti yang bertemakan alat sulit lelaki.
“Trend” ini diambil daripada budaya Barat yang berasaskan kepada fahaman humanisme. Fahaman humanisme berteraskan kepada kehendak manusia. Dengan erti kata lain segala kehendak manusia perlu ditunaikan dimana asasnya adalah nafsu yang tidak terbatas.
Mari kita lihat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Atha’ bin Abi Rabah, dia berkata: “Telah berkata kepadaku Abdullah bin Abbas: “mahukah engkau aku perlihat seorang wanita penghuni syurga?” maka aku berkata : “tentu!”.
Kemudian ‘Abdullah berkata: “Seorang wanita berkulit hitam pernah mendatangi Rasulullah ﷺ lalu ia berkata: “ aku kena penyakit sawan (epilepsy) , apabila penyakit aku berulang auratku tersingkap. Maka doakanlah kepada Allah agar menyembuhkan penyakitku”.
Maka Nabi ﷺ berkata: “jikalau aku doakan kepada Allah, pasti kamu akan sembuh. Akan tetapi jikalau kamu bersabar maka bagimu syurga”.
Maka wanita itu berkata: “Ashbiru (aku akan bersabar), akan tetapi doakan kepada Allah agar tiap kali penyakitku berulang, auratku tidak tersingkap”.
Maka Nabi ﷺ pun mendoakannya sehingga tiap kali penyakitnya berulang, Allah s.w.t menjaga auratnya. (HR. Bukhari Muslim)
Satu pengajaran yang kita boleh ambil daripada kisah di atas adalah bagaimana wanita tadi sangat mengambil berat dan sensitif perihal auratnya yang berkemungkinan terdedah ketika beliau diserang penyakit beliau.
Sifat malu dan menjaga maruah adalah sifat seorang mukminah. Nabi ﷺ bersabda yang bermaksud: “Terdapat 99 bahagian tarikan pada wanita berbanding lelaki, lalu Allah s.a.w kurniakan ke atas mereka sifat malu.” (H.R. Baihaqi)
Apa yang kita lihat pada zaman kita, sebahagian muslimah telah hilang malunya kerana terpengaruh dengan budaya dan ideologi humaniseme barat. Malah yang berhijab juga turut tidak segan silu. Hijab tidak lagi menjadi sesuatu yang bertujuan bagi menjaga maruah dan pengabdian diri kepada Allah. Ia telah menjadi fesyen yang bertujuan untuk diperagakan tanpa mengambil kira batas syariah.
Tiada lagi sifat ketakwaan pada pemakai hijab malah hilang segala sifat malu. Apabila hilangnya sifat malu mereka akan melakukan apa sahaja tanpa menghiraukan sesiapa. Sabda Rasulullah ﷺ : “Apabila kamu tidak malu maka berbuatlah semahumu”(H.R. Bukhari).
Malah tidak cukup dengan itu mereka turut mengajak orang lain untuk turut sama bersama memperagakan maksiat. Sabda Rasulullah ﷺ: “Sesungguhnya termasuk ahli neraka iaitu perempuan-perempuan berpakaian tetapi telanjang (dedah aurat) yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk berbuat maksiat. Mereka ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (H.R. Muslim)
Islam telah meninggikan martabat dan kedudukan wanita tetapi kita sendiri yang meletakkan diri kita di tempat yang hina. Wanita yang beriman adalah wanita yang mempunyai sifat malu, pakaiannya adalah pakaian taqwa.
Malu kepada Allah s.w.t akan melahirkan tindakan berasaskan syariat. Hentikan mengambil budaya fahaman humaniseme daripada Barat yang berasaskan kepada nafsu. Semoga wanita muslimah masa kini kembali dikurniakan sifat malu kepada Allah s.w.t sepertimana yang dikurniakan kepada generasi sahabiat Rasulullah ﷺ.
Ustaz Mus’ab Norkefli
Naib Yang Dipertua ISMA Hulu Langat
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan