‘FEATURES DATING’ Mengundang Kerosakan Institusi Kekeluargaan

Oleh: Nurul Hajjar Binti Atan

Ihsan google

Baru-baru ini facebook telah memperkenalkan sebuah ‘features’ baharu yang dinamakan sebagai ‘dating’ untuk para pengguna facebook berinteraksi antara satu sama lain. Sebaik sahaja ‘features’ ini diperkenalkan dan tertera pada bahagian atas aplikasi facebook, saya ‘melihat’ sebuah kerosakan yang maha dahsyat bakal berlaku pada masa akan datang. Kerosakan ini bakal berlaku kepada setiap individu yang berasa kesunyian dan mengharapkan perhatian dari orang lain sekaligus mampu merosakkan sesebuah institusi keluarga itu sendiri.

Mungkin ramai yang berasa teruja dengan ‘features’ terbaharu ini. Namun, tahukah anda, bermula dengan perkataan ‘dating’ itu saja telah memaknakan pelbagai perkara yang negatif. ‘Dating’ yang diperkenalkan itu, bukan hanya menggalakkan pasangan muda remaja untuk bercinta dan mencari pasangan bahkan juga membuka ruang kepada pasangan yang telah berkahwin untuk menjalinkan hubungan dengan orang ketiga secara sembunyi-sembunyi.

‘Features’ ini dibuat secara terang-terangan untuk menggalakkan perhubungan dan pergaulan antara lelaki dan perempuan sehingga ke tahap perhubungan seks. Jika anda menekan butang ‘learn more’ pada ‘pop up’ aplikasi facebook anda, ‘features dating’ ini menerangkan bagaimana cara penggunaannya dan memang direka khas untuk menggalakkan perhubungan secara sembunyi-sembunyi tanpa dipamerkan di mana-mana dinding facebook. Hanya mereka yang mempunyai profil ‘dating’ sahaja yang boleh melihat itupun dengan kawalan keselamatan yang terjamin.

Saya melihat hal ini begitu serius kerana terdapat empat hal yang penting perlu diperhatikan di sini. Pertama, bagaimana penggunaan ‘features’ ini mampu mengelakkan anak-anak seawal usia sekolah rendah yang telah mempunyai akaun facebook untuk terlepas dari terjebak dengan perhubungan ini? Sedangkan tanpa ‘features’ spesifik sebegini pun terdapat banyak masalah gejala sosial yang berlaku melalui media sosial. Kedua, seseorang yang masih belum berkahwin mempunyai ‘tendency’ yang tinggi menggunakan aplikasi ini untuk mencari jodoh. Namun, bagaimana ianya dapat mengawal perhubungan seks bebas yang semakin menular dalam masyarakat kita sekarang ini meskipun hanya melalui media sosial? Cukuplah media sosial seperti wechat, bigo, tik tok dan sebagainya yang merosakkan jati diri para belia kita. Ketiga, kadar perceraian di negara kita mengikut statistik pada tahun 2017 kebanyakkannya berpunca daripada perhubungan orang ketiga. Sama ada ianya berlaku di tempat kerja mahupun di media sosial. Justeru, bagaimana ianya (features) dapat menjamin institusi keluarga tidak terganggu? Keempat, ‘features’ ini juga telah memberi ruang kepada penggunanya untuk melakukan perhubungan di luar tabii dalam keadaan pengguna boleh memilih gender/ seks dirinya selain lelaki atau wanita seperti trans man atau trans women atau non binary. Lalu, bagaimana kecelaruan identiti dapat dirawat jika perkara ini dapat diakses dengan begitu mudah?

Dalam segenap kerisauan ini, saya tidaklah dapat menghentikan aplikasi yang telah dibuat oleh pihak pengelola facebook. Tetapi saya sekadar mahu mengambil perhatian para pengguna facebook supaya lebih berhati-hati dengan media sosial ini. Mungkin dalam kesibukan kita, kita tidak perasan akan aplikasi yang telah dikemaskini dan ditambah dengan ‘features’ yang baharu. Kita mungkin masih melihat facebook sekadar tempat meluah dan menconteng dinding. Mungkin juga hanya tempat pertemuan dengan rakan-rakan lama. Namun, tanpa kita sedari ada perkara lain yang sedang memburu kehidupan kita. Perkara yang bakal merosakkan pegangan dan prinsip kita sebagai seorang Muslim terutamanya.

Justeru, sebagai ibu bapa, kita harus lebih berhati-hati dengan perkara ini. Jika anak anda masih belum matang memilih baik dan buruk, anda haruslah meletakkan syarat yang ketat (jika perlu disekat aplikasi ini, sekatlah) untuk memberi izin kepada mereka menggunakan aplikasi media sosial umumnya. Anda harus ingat, kes pedofilia melalui aplikasi wechat masih berlaku sehingga ke saat ini kerana kecuaian ibu bapa dalam memberi kebebasan kepada anak-anak. Saya tidak menyalahkan ibu bapa secara total, tetapi segala sikap, perlakuan dan cara fikir itu bermula dari rumah. Hasil didikan dan pantauan ibu bapa bukan mengharap guru sekolah semata-mata.

Jagalah institusi kekeluargaan yang telah dibina dengan sebaiknya. Jika institusi keluarga tidak dijaga dan perceraian berlaku dengan berleluasa, bagaimana masa hadapan anak-anak kita? Jadilah ibu bapa, suami dan isteri yang berpegang pada asas agama. Jika mantap asas agama, akan mantap juga cara didikan kita.

Jika anda masih belum berkeluarga, jagalah diri dan kehormatan. setiap manusia telah ditentukan jodohnya. Benar jodoh perlu dicari dengan usaha, tetapi sebaiknya biarlah ianya dicari dengan cara yang tepat bukan sekadar cepat.

Wallahualam.

 

Nurul Hajjar Binti Atan

Aktivis & Penganalisis

National Young Women of Change (NOW)

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian