Hayati peristiwa Badar dalam memahami hakikat beribadat

Oleh: Mohd Naim Yusof

Kuala Terengganu, 22 Mei – Ustaz Engku Omar Amiruddin Engku Ali, Yang Di-Pertua (YDP) Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) cawangan Kuala Terengganu telah menyampaikan peringatan ringkas kepada semua hadirin di majlis Iftar Mahabbah anjuran Isma Kuala Terengganu dengan kerjasama Surau Al-Muttaqin mengenai peristiwa Perang Badar bersempena hari berlakunya peristiwa tersebut iaitu pada 17 Ramadan.

Beliau telah menegaskan bahawa peristiwa tersebut telah mengajar umat Islam tentang hakikat beribadat dan hubungan kita dengan Allah. Bagaimana sebuah pasukan tentera seramai 313 orang telah mengalahkan pasukan tentera yang lebih besar yang berjumlah hampir 1000 orang dengan pertolongan daripada Allah.

“Dalam peristiwa Badar, Rasulullah telah berdoa dengan bersungguh-sungguh sehingga jatuh serempang dari bahu baginda, dalam keadaan Rasulullah tahu kemenangan pasti milik orang Islam. Sehinggakan Saidina Abu Bakar pun menasihati baginda agar berhenti berdoa. Begitulah hakikat sebenar apabila kita beribadat, bukan kerana kemenangan yang telah dijanjikan dan bukan juga kerana kemuliaan bulan tertentu tetapi semata-mata kerana Allah dan mengharapkan keredhaan-Nya.”

Ustaz Engku Omar Amiruddin juga berkata bahawa disebalik logik akal yang kita gunakan dalam apa-apa pertimbangan, kita sebagai orang Islam sepatutnya tidak lupa akan nilai-nilai lain seperti pertolongan Allah, keberkatan, hubungan kita dengan Allah, dosa dan pahala serta  lain-lain.

“Sepertimana yang telah berlaku dalam peristiwa Badar, ikut logik akal manusia, mana mungkin sebuah pasukan tentera yang kecil dan mempunyai kelengkapan hanya 2 ekor kuda dapat mengalahkan pasukan yang besar yang mempunyai kelengkapan perang yang lebih lengkap. Tetapi di sana wujudnya nilai lain yang menentukan kemenangan mereka iaitu pertolongan Allah s.w.t.”

Turut memeberi ucapan alu-aluan didalam majlis tersebut, Tuan Haji Raja Nor Hisamuddin, Pengerusi Surau Al-Muttaqin. Beliau amat mengalu-alukan kerjasama antara Isma Kuala Terengganu dengan pihak surau dan berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Isma Kuala Terengganu dengan kerjasama Yayasan Ikhlas turut menyampaikan sumbangan Bakul Kasih Ramadhan kepada 15 orang asnaf yang telah dikenal pasti oleh pihak surau. Kira-kira seramai 150 orang yang terdiri daripada penduduk setempat dan ahli Isma Kuala Terengganu telah hadir ke Majlis Iftar Mahabbah ini.

Sumber

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

Dr Mat Rofa bodoh? Pensyarah dan pelajar universiti tempatan juga bodoh?

ASEAN tolak cadangan halalkan beberapa jenis dadah

Forum Maal Hijrah 1443H: Cabaran Menghadapi Norma Baharu: Masalah Kesihatan Mental, Peranan Agama Sebagai Penyelesaian