Ketagihan Pornografi : Barah yang Perlu Dicegah
TRIANG, 2 Mac – Ketagihan menonton pornografi merupakan barah yang merosakkan jiwa anak-anak muda pada masa kini. Justeru Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Malaysia (I-Medik) cawangan Temerloh telah dijemput untuk menyampaikan ceramah yang bertajuk Bahaya Ketagihan Pornografi di SMK Bukit Mendi, Triang, Pahang.
Program ini melibatkan seramai hampir 400 orang pelajar. Ceramah telah disampaikan oleh wakil I-Medik, Dr Mukmin Mohd Khairi dan Dr Sakinah Yaakob. Menurut Dr Mukmin, telefon pintar merupakan alat yang paling mudah untuk mendapatkan bahan-bahan pornografi dan akan menjadi ketagih sekiranya ditonton setiap hari.
Seiring dengan perkembangan teknologi pada masa kini, kita mendapati kebanyakan remaja mempunyai telefon pintar di usia persekolahan, dan mereka boleh mengakses terus kepada internet dengan mudah termasuklah di kawasan kampung. Mereka boleh melayari apa jua laman sesawang termasuklah laman-laman pornografi yang semakin mencanak naik pada hari ini. Justeru, jika aktiviti mereka tidak dipantau, maka ketagihan menonton video pornografi akan semakin membarah dalam masyarakat kita terutamanya pada golongan remaja.
Sebuah kajian oleh Websense menunjukkan peningkatan mendadak laman pornografi di internet daripada 74,000 pada tahun 2001 kepada 4.2 juta pada tahun 2017. Malah industri pornografi dikatakan mengaut keuntungan yang besar sehingga mencecah USD 97 bilion pada tahun 2006 dan meningkat kepada tiga kali ganda pada tahun 2014. Keuntungan mereka adalah lebih besar berbanding syarikat-syarikat gergasi seperti Microsoft, Google, Amazon, eBay, Yahoo, dan Apple. Apa yang membimbangkan, industri pornografi ini mensasarkan golongan remaja sebagai pelanggan tetap mereka, kerana golongan remaja yang paling mudah terjebak dengan gejala ini.
Kesannya, semakin banyak kes salah laku sosial yang menghiasi dada-dada akhbar di Malaysia pada hari ini. Kes-kes seperti seks bebas/zina, sumbang mahram, liwat, kehamilan luar nikah seterusnya pengguguran tidak selamat dan pembuangan bayi meningkat dari tahun ke tahun, dan ini merupakan kesan langsung daripada ketagihan pronografi.
Menonton pornografi bukan sahaja boleh menjadi ketagihan, tetapi ia juga boleh merosakkan sel-sel otak bahkan lebih serius kerosakannya berbanding dengan kerosakan otak akibat kemalangan, kata Dr Sakinah yang menjelaskan bahaya pornografi dari sudut kesihatan. Ketagihan pronografi akan menjejaskan fungsi otak hadapan atau secara saintifiknya dipanggil “Pre-frontal Cortex”. PFC adalah bahagian otak yang membentuk akhlak dan keperibadian seseorang. Ia berfungsi untuk membezakan perkara yang baik dan buruk,mengawal nafsu dan membuat sesuatu keputusan. Otak yang terdedah kepada pornografi akan kehilangan fungsi otak hadapan (PFC) , justeru seseorang itu akan hilang pertimbangan dan kewarasan akal dalam membuat keputusannya.
Selain itu, beliau turut memberi beberapa tips untuk mencegah perbuatan ini seperti bergaul dengan rakan-rakan yang baik, melakukan aktivti yang bermanfaat dan selalu mendekatkan diri kepada Allah.
“ Elakkan untuk memberi telefon pintar pada anak-anak sebelum usia 17 tahun. Jika perlu ibu bapa dan guru perlu memantau isi kandungan di dalam telefon pintar tersebut. Langkah-langkah pencegahan perlu dilakukan jika ada anak-anak yang sudah terjebak sebelum ia mula membarah.”
Para guru dan pelajar memberikan komen yang positif mengenai program ini dan berharap program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang. Diharapkan para pelajar dapat mengambil iktibar daripada ceramah tersebut dan menjadi seorang yang pintar apabila menggunakan telefon pintar.
Nur Liyana Sabri dan Sakinah Yaakob
Biro Komunikasi dan Multimedia Isma Temerloh
Sumber
Ulasan
Catat Ulasan