Pindaan Akta Mahkamah Syariah perkasa Islam agama persekutuan
KOTA BAHARU, Selasa – Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) patut dipinda untuk memperkasa Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang dihasratkan Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. Beliau berkata pindaan itu tidak kena mengena dengan hudud sebaliknya hanya untuk memperkasa Mahkamah Syariah. “Hukuman denda RM5,000, penjara tiga tahun dan rotan enam kali sudah tidak lagi relevan untuk masa ini. “Sebab itulah kita ingin pertingkat dan memperkasa Mahkamah Syariah seiring dengan apa yang dihasratkan oleh Perlembagaan iaitu Islam sebagai agama Persekutuan dan paling penting ia tidak boleh melangkaui kuasa yang telah dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita selepas memberi taklimat mengenai cadangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di sini, hari ini. Sesi taklimat itu dihadiri para pemimpin Barisan Nasional (BN) Kelantan termas...